Siakap Keli
had pengeluaran akaun fleksibel KWSP
Gambar: BERNAMA

Dah Bayar Zakat KWSP, Masih Kena Buat Penyucian Dividen Lagi Ke? Ini Jawapannya

Dah Bayar Zakat KWSP, Masih Kena Buat Penyucian Dividen Lagi Ke? Ini Jawapannya

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beberapa hari lepas telah mengumumkan jumlah dividen yang dinikmati oleh pencarumnya, bagi simpanan sepanjang 2023.

Menurut KWSP, bagi simpanan sepanjang 2023, pencarum menikmati dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah.

Namun begitu, pencarum beragama Islam yang masih belum beralih ke Simpanan Shariah perlu melakukan penyucian dividen bagi Simpanan Konvensional yang diterima.

Berdasarkan laman web KWSP, simpanan mereka yang diuruskan dibawah Simpanan Konvensional menerima dividen daripada pelaburan bercampur antara yang patuh shariah dengan pelaburan konvensional.

Manakala Dividen Simpanan Konvensional yang diperolehi daripada pelaburan konvensional perlu disucikan seperti yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-87 Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-87

“Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba’, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

(a) Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

(b) Diserah kepada golongan fakir miskin”.

KWSP berkata, Simpanan Shariah hanya diperkenalkan bermula pada 2017. Jadi, ahli KWSP yang beragama Islam dikecualikan daripada melakukan penyucian dividen sebelum wujudnya Simpanan Shariah (2016 dan tahun-tahun sebelumnya).

Maka, mereka hanya perlu melakukan penyucian dividen bagi simpanan selepas tahun 2017 sahaja. Misalnya, jika ahli KWSP beragama Islam bertukar kepada Simpanan Shariah pada 2023, maka mereka perlu melakukan penyucian dividen bagi tahun 2017 hingga 2022.

BACA: Pakai Duit Sendiri Ke? Ini Cara Kira & Nak Buat Penyucian Dividen KWSP

Dah bayar zakat KWSP, kena buat penyucian dividen lagi ke?

Dalam pada itu, ada juga yang bertanya, sekiranya mereka sudah mengeluarkan zakat KWSP, adakah mereka masih perlu melakukan penyucian dividen yang diterima daripada Simpanan Konvensional?

Menurut KWSP, pembayaran zakat dan penyucian dividen merupakan dua perkara yang berbeza.

“Zakat dikenakan ke atas harta yang halal yang memenuhi syarat wajib zakat, manakala penyucian harta pula dilakukan ke atas harta yang diperolehi dengan cara yang tidak patuh syariah yang tidak boleh dimanfaatkan dan perlu diserahkan kepada Baitulmal atau faqir miskin,” kata KWSP.

Jadi, untuk simpanan KWSP, sekiranya ahli tidak bertukar kepada Simpanan Shariah, simpanannya itu telah termasuk dengan dividen yang diperoleh daripada pelaburan tidak patuh shariah.

“Ahli beragama Islam dinasihatkan untuk mengasingkan simpanan tersebut daripada jumlah yang perlu dibersihkan mengikut kadar penyucian dividen setiap tahun sebelum menentukan jumlah simpanan yang diwajibkan zakat,” kata KWSP lagi.

Semoga menjawab persoalan.

Sumber: KWSP 

Athirah

When nothing goes right, go left.