Populasi Penduduk Thailand Diramal Kurang 50 Peratus Dalam Tempoh 60 Tahun
BANGKOK — Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somsak Thepsutin memberi amaran bahawa populasi penduduk Thailand diramal merosot daripada 66 juta kepada 33 juta orang sahaja dalam tempoh 60 tahun, lapor The Thaiger.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) semalam, beliau menyatakan kebimbangan itu terjadi susulan melihat kos sara hidup dan ekonomi negara yang buruk.
Ia juga termasuk julat usia penduduk yang bekerja semakin berkurangan daripada 46 juta kepada 14 juta sahaja.
Tambah Somsak, beliau turut menggariskan keperluan mendesak bagi menangani isu penurunan kadar kelahiran.
Menurut data, kadar kesuburan menunjukkan penurunan kepada 1.08 pada tahun lalu berbanding 6.29 pada tahun 1970.
“Jumlah bayi yang baru lahir di Thailand telah merosot di bawah 500,000 setiap tahun, sangat berbeza dengan lebih 1 juta kelahiran yang dicatatkan pada 1970.
“Unjuran NESDC menunjukkan gambaran yang negatif, dengan meramalkan populasi puncak sebanyak 67.19 juta pada 2028, namun dijangka menurun secara beransur-ansur kepada 66.18 juta menjelang 2037.
“NESDC juga menjangkakan penurunan berterusan demografi umur bekerja menjunam daripada 66.1 peratus pada 2017 kepada 56 peratus menjelang 2037,” katanya.
BACA: “Awaklah Yang Selalu Pakai AI Muka Saya Tu?” Siti Nurhaliza Akhirnya Bertemu Abang Foodpanda
Beliau berkata demikian selepas hadir mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berhubung isu membendung kehamilan remaja.
Keadaan diburukkan lagi dengan penurunan kadar kesuburan umur wanita yang diunjurkan menjunam kepada 11.81 juta menjelang 2037, berbanding 14.2 juta pada 2017.
Dengan lebih separuh daripada wanita dalam kategori ini berumur 30 hingga 44 tahun menunjukkan tahap kesuburan yang merosot, lapor The Nation.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan untuk memanfaatkan teknologi perubatan dan melaksanakan dasar yang kondusif untuk memupuk kehidupan dan persekitaran kerja yang menyokong untuk wanita berusia lebih 30 tahun, dalam usaha untuk meningkatkan kadar bersalin wanita muda.
Terdahulu, China melaporkan penurunan populasi pada tahun lalu sebanyak dua juta.
Menurut laporan kerajaan tempatan, ia merupakan penurunan tahunan kedua berturut-turut negara tembok besar China itu.
Sumber: The Thaiger