Siakap Keli
Pencipta Karaoke, Shigeichi Negishi Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun
Kredit: Matt Alt

Pencipta Mesin Karaoke, Shigeichi Negishi Meninggal Dunia

Pencipta Mesin Karaoke, Shigeichi Negishi Meninggal Dunia

Pencipta mesin karaoke, Shigeichi Negishi dilapor meninggal dunia pada usia 100 tahun di kediamannya di Tokyo, Jepun.

Menurut NPR yang memetik laporan Wall Street Journal, anak perempuannya mengesahkan mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 26 Januari lalu, selepas terjatuh.

Negishi yang dilahirkan pada 1923 merupakan seorang penggemar program radio yang dikenali sebagai “Pop Songs Eithout Lyrics”.

Terdorong dengan program berkenaan, Negishi mula menanam minat yang tinggi kepada muzik dan menjadikan menyanyi sebagai salah satu hobinya.

Bagaimanapun, kecenderungan Negishi yang ketika itu merupakan seorang jurutera, untuk bernyanyi di pejabat telah menerima kritikan daripada rakan sekerjanya.

Kritikan tersebut kemudian menjadi titik tolak kepada beliau untuk mencipta sebuah mesin yang membolehkan sesiapa sahaja menyanyikan lagu yang digemari dengan riang.

Pada ketika itu, karaoke masih merupakan suatu bentuk hiburan nyanyian dengan iringan muzik daripada live band atau rakaman instrumental.

Cipta mesin karaoke supaya orang ramai boleh bernyanyi dengan gembira

Menurut The Sun, Negishi memutuskan untuk mencipta mesin yang membolehkan orang ramai menikmati karaoke tanpa perlu bergantung pada instrumen muzik semata-mata.

Pada 1967, terlahirlah Sparko Box hasil ciptaan Negishi. Prototaip mesin karaoke yang berfungsi menggunakan duit syiling itu kemudian berkembang menjadi mesin karaoke yang kita kenali pada hari ini.

Bagaimanapun, Negishi tidak pernah menempa nama di atas ciptaan tersebut. Pelbagai isu yang timbul juga menyaksikan beliau tidak mempatenkan ciptaan berkenaan.

Antara isu yang timbul adalah bantahan daripada komuniti pemuzik karaoke live band yang merasakan kehadiran mesin tersebut bakal mengganggu periuk nasi mereka.

Oleh kerana itu, ramai yang menganggap seorang lagi individu, Daisuke Inoue yang mencipta mesin karaoke pada tahun 1971 sebagai perintis kepada teknologi berkenaan.

Meskipun begitu, sumbangan Negishi kekal diingati dunia dan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai orang pertama yang mencipta mesin berkenaan.

BACA: Siapa Sahabat Nabi Muhammad SAW Yang Paling Akhir Meninggal Dunia? Ini Jawapannya

BACA: Selangor FC Lantik Nidzam Jamil Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

Sumber: The Sun

Sharifah Hannah Adibah