Siakap Keli
pemain muslim berbuka puasa
Kredit: Sporza

Tiga Penjaga Gol Pura-Pura Cedera, Beri Ruang Untuk Pemain Muslim Berbuka Puasa

Tiga Penjaga Gol Pura-Pura Cedera, Beri Ruang Untuk Pemain Muslim Berbuka Puasa

Ketika bulan Ramadan berkunjung tiba, kebanyakan urusan di negara majoriti Islam akan mengalami rombakan waktu operasi untuk memberi laluan kepada orang ramai untuk berbuka puasa.

Berbeza dengan negara minoriti Islam, urusan harian berlaku seperti biasa termasuklah acara-acara sukan yang besar seperti perlawanan bola sepak.

Akan tetapi, ada satu kejadian ‘pelik’ yang berlaku di Belgium semalam ketika beberapa pasukan bola sedang menghadapi perlawanan liga teratas, Liga Profesional Jupiler di negara itu.

Tiga penjaga gol dilaporkan mengalami kecederaan dalam perlawanan berbeza yang dimulakan serentak dalam sekitar 6.30 petang.

‘Gelombang’ kecederaan ini dapat dilihat pertama kali ketika Hervé Koffi bersama pasukannya, Cherleroi menentang KAA Gent.

Seterusnya, penjaga gol Oud-Heverlee Leuven, Tobe Leysen pula dilaporkan cedera dalam perlawanan OH Leuven menentang Mechelen.

Tidak lama kemudian, penjaga gol KRC Genk, Maarten Vandevoordt turut dilaporkan mengalami kecederaan sewaktu menentang Westerloo.

Tindakan ketiga-tiga penjaga gol yang ‘cedera’ secara serentak ini dipercayai adalah satu taktik untuk memberikan peluang kepada rakan pemain yang beragama Islam untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Ketika ketiga-tiga penjaga gol ini ‘dirawat’, pemain-pemain yang beragama Islam dapat menjamah kurma dan air mineral untuk mendapatkan tenaga dengan segera.

‘Kebetulan’ yang luar biasa ini sudah semestinya menarik perhatian media sukan di negara tersebut.

Menurut Voetbal Belgie, beberapa wartawan telah bertanya berkenaan perkara tersebut kepada salah seorang penjaga gol yang terlibat,  Vandevoordt.

“Saya telah mengalami keccederaan pada bahagian buku lali,” katanya sambil ketawa.

Namun, dia menjelaskan bahawa ia dilakukan untuk rakan sepasukannya yang sedang berpuasa.

“Tidak, ini adalah untuk rakan-rakan yang sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Dengan cara ini, mereka dapat mengambil nutrisi dengan kadar yang segera,” ujarnya ketika disoal wartawan.

Untuk makluman, sistem perlawanan bola sepak Belgium sewaktu bulan Ramadan tidak sama seperti beberapa perlawanan utama di seluruh dunia.

Bagi perlawanan seperti EPL, Eredivisie Belanda dan Bundesliga, pengadil boleh membuat keputusan untuk memberhentikan perlawanan buat seketika.

Dalam kes pemain berpuasa di bulan Ramadan, pengadil boleh berbuat sedemikian untuk membenarkan pemain beragama Islam untuk berbuka puasa buat seketika.

Walau bagaimanapun, perlawanan bola sepak profesional di Belgium tidak memperuntukkan peraturan sedemikian rupa.

Oleh sebab itu, setiap pasukan yang bermain pada waktu berbuka puasa perlu bertindak di luar kotak dengan memanfaatkan ‘loophole‘ dalam peraturan perlawanan.

Penjaga goal KAA Gent, Davy Roef turut merancang untuk berpura-pura cedera bagi memberikan ruang kepada pemain yang berpuasa.

“Kami bersetuju untuk melakukannya pada minit ke-25, tetapi saya nampak Koffi (penjaga goal Cherleroi) sudah berada di atas tanah lebih awal,” jelas penjaga gol KAA Gent dalam laporan Sporza.

BACA: Google Malaysia Mohon Maaf Atas Kesilapan Nilai Tukaran USD-MYR

Sumber: Voetgol Belgie, Sporza

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma