Siakap Keli
sebut tentang gula

Bayi Pun Boleh Hidap Diabetes, Ini Simptom Ibu Bapa Wajib Ambil Tahu

Bila sebut tentang gula ni, boleh dikatakan ia salah satu kandungan yang penting dalam kebanyakan makanan dan minuman di Malaysia.

Namun, pengambilannya perlulah berpada-pada dan tidak berlebihan. Ini kerana, ramai di antara kita yang tak sedar bahawa mereka menghidap diabetes. Diam tak diam, 50% daripada penduduk Malaysia menghidapinya dan negara kita juga yang tertinggi di Asia Tenggara.

Peratusan tersebut pastinya merunsingkan, ditambah pula dengan statistik pesakit muda yang semakin bertambah saban tahun. Malah, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM4 billion setahun untuk rawatan diabetes di negara kita.

Bukan hanya kerajaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Pusat Dialisis PERKESO juga telah menerima ramai pesakit yang memerlukan rawatan dialisis. Sehingga Februari 2024, ada lebih kurang 17,340 Orang Berinsurans (pekerja yang dilindungi PERKESO) menerima kemudahan rawatan dialisis.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga pula, korang tahu tak yang kanak-kanak dan bayi juga boleh menghidapinya?

Gambar hiasan. (Kredit: xb100 via Freepik)

Bayi pun boleh menghidap diabetes!

Ya, korang tak salah baca. Diabetes dalam kalangan kanak-kanak atau bayi sebenarnya sama seperti yang dihidapi orang dewasa, tetapi berbeza dari segi masalah psikososial dan boleh dikatakan rawatannya lebih rumit.

Seperti orang dewasa, diabetes kanak-kanak juga terbahagi kepada dua jenis iaitu Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.

Diabetes Jenis 1 ni merupakan sejenis gangguan autoimun yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Biasanya, diabetes Jenis 1 ini didiagnosis sejak kecil terutamanya sejak bayi lagi. Selalunya, pesakit dalam kategori ini dirawat dengan suntikan atau pam insulin dan ia tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin.

Diabetes Jenis 2 pula ialah sejenis diabetes metabolik, disebabkan oleh paras gula yang tinggi dalam badan. Asalnya, jenis 2 ni hanya pada orang dewasa dan jarang berlaku pada kanak-kanak. Tetapi  ia kian meningkat selari dengan peningkatan obesiti kanak-kanak. Diabetes jenis ini selalunya hadir selepas kanak-kanak mencapai akil baligh, dengan kadar tertinggi antara umur 15 tahun dan 19 tahun. Rawatan awal untuk pesakit kategori ini adalah tanpa perubatan atau pil. Hanya perlu mengubah gaya pemakanan dan berdiet.

Walaupun kedua-dua jenis ini penting, apa yang lebih membimbangkan ialah diabetes kanak-kanak lebih tergolong dalam jenis 1. Tertanya-tanya juga apa sebenarnya faktor diabetes kanak-kanak Jenis 1 ni?

Kalau korang nak tahu, faktor sebenar yang menyebabkan keadaan ini berlaku masih belum dapat dikenal pasti. Namun, pakar atau penyelidik berpendapat bahawa keadaan ini ada kaitan dengan genetik keluarga. Nampak tak, penting untuk kita kesan penyakit ini dengan lebih awal.

Bagi para ibu bapa yang yang pernah mempunyai sejarah keluarga menghidapi diabetes Jenis 1, anda boleh lihat simptom-simptomnya di bawah ini: 

  • Selalu berasa dahaga
  • Selalu berasa letih
  • Hilang berat badan
  • Mudah cepat lapar
  • Masalah penglihatan
  • Jangkitan yis (bayi)
  • Nafas mereka berbau seperti buah-buahan
  • Kelakuan yang tidak normal

Peranan Ibu Bapa

Bila tengok simptom-simptom di atas, ibu bapa kenalah sama-sama jalankan peranan dengan TOLAK pengambilan gula secara berlebihan dalam pemakanan. 

Siapa sahaja yang tidak sukakan makanan atau minuman dihidang dengan rasa yang manis walaupun sedikit. Kalau kita tanya pada diri kita sendiri, mestilah susah nak tolak.

Namun, jangan pula korang tak tahu yang ianya juga mampu menjadi ‘racun’ yang bila diambil secara berlebihan mampu mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

Malah, jika anak mempunyai faktor risiko diabetes seperti berat badan berlebihan atau masalah genetik, peranan ibu bapa amatlah penting bagi menghindari atau mengawal penyakit berkenaan.

Diharapkan agar ibu bapa dapat mainkan peranan mereka dengan mula bantu kurangkan jumlah penghidap diabetes di Malaysia.

PERKESO anjur Kempen Tolak Gula

Prihatin dengan peningkatan diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia, PERKESO telah melancarkan Kempen Tolak Gula pada 11 Mac 2024 demi membasmi penyakit diabetes di negara kita.

Kempen ini salah satu usaha PERKESO bagi memberi kesedaran dan pemahaman terhadap impak pengambilan gula terutamanya dalam kalangan pencarum yang sudah berkeluarga. 

Jika dilihat, Kempen Tolak Gula ini sejajar dengan misi PERKESO iaitu memberi perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif.

Jadi, tunggu apa lagi? Jom ramai-ramai sahut seruan Tolak Gula bersama PERKESO!

“Dengan gula, hidup menjadi sengsara, tolak gula hidup lebih sejahtera.”

sebut tentang gula

Adib Mohd