Syarikat Pengedar Stoking Tertera Kalimah Allah Naikkan Kain Rentang Mohon Maaf
Susulan isu stoking tertera kalimah Allah, sebuah syarikat pengedar yang beroperasi di Batu Pahat dilapor telah menaikkan kain rentang yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia, lapor Sinar Harian.
Tinjaun yang dibuat oleh akhbar tempatan itu pada Rabu juga mendapati pintu pagar syarikat berkenaan berkunci.
Berdasarkan kenyataan pada kain rentang berkenaan, pihak kilang didapati berjanji untuk memastikan sensitiviti masyarakat berbilang agama terjaga, keharmonian terpelihara dan meningkatkan usaha bagi kawalan kualiti.
Menurut Sinar Harian, kilang yang terlibat dengan pengedaran stoking berkenaan juga tidak beroperasi pada hari berkenaan.
Stoking tertera kalimah Allah: Syarikat pengedar naik kain rentang mohon maaf
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia telah memanggil tiga individu iaitu pemilik, pengurus dan pekerja kilang terbabit untuk diambil keterangan berhubung isu stoking yang tertera kalimah Allah.
Stoking berkenaan sebelum ini dilapor telah dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketiga-tiga individu terbabit dipanggil memberi keterangan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
“Pagi ini (Rabu), polis telah selesai merakam percakapan melibatkan pemilik kilang, pengurus dan pekerja yang bertugas. Jumlah ini mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa,” jelasnya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Tambahnya lagi, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya mereka mempunyai maklumat terdapat penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.
“Maklumat yang diperoleh perlu dilaporkan atau disalurkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” ujarnya
Menerima ugutan untuk membakar kilang dari pihak luar
Menurut Sinar Harian lagi, kilang berkenaan turut mendedahkan terdapat pihak mengugut untuk membakar premis mereka pada sebelum ini.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Selasa turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.
Justeru, Seri Paduka Baginda mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
Dalam laporan Sinar Harian beberapa hari lepas, Polis Diraja Malaysia membuka dua kertas siasatan terhadap laporan berhubung isu terbabit.
Manakala pengurusan tertinggi pasaraya serbaneka berkenaan turut menyatakan rasa kesal dan meminta maaf berhubung penjualan stoking berkenaan.
BACA: Penyamun Maut, Dilanggar Pemandu Kereta Yang Hendak Disamunnya
Sumber: Sinar Harian