Siakap Keli
Lima Anak Kecil Tiada
Sumber: Lembaga Zakat Selangor via Facebook

Hampir 3 Minggu Hidup Pindah-randah Tiada Tempat Tinggal, Zakat Selangor Hulur Bantuan

Hampir 3 Minggu Hidup Pindah-randah Tiada Tempat Tinggal, Zakat Selangor Hulur Bantuan

Hidup ini penuh dengan ujian dan ujian yang ditempuhi setiap orang tidak sama antara satu sama lain. Ada yang diuji dengan kesenangan harta benda, pada masa yang sama ada insan lain yang menempuh pelbagai onak duri sebagai ujian hidup.

Sihat itu ujian dan sakit juga adalah sebuah ujian. Dalam perjalanan hidup ini, pelbagai perkara yang tidak pernah terjangka akan berlaku dan menguji makna kesabaran serta keredhaan dalam diri.

Begitu juga dalam membina alam rumahtangga dan berkeluarga, tidak semua orang bernasib baik dalam kehidupan ini.

Apa yang penting, sebagai umat Islam, kita harus sentiasa rasa bersyukur dengan setiap ujian dan pemberian oleh Allah SWT.

Baru-baru ini, Lembaga Zakat Selangor ada berkongsi kisah mengenai nasib sepasang suami isteri yang mempunyai lima anak kecil yang menempuh dugaan tiada tempat berteduh.

Kepayahan yang terpaksa dilalui keluarga berkenaan pasti menjadikan kita merasa bersyukur dengan nikmat yang kita ada pada hari ini.

Jom ikuti kisah berkenaan dibawah.

5 Anak Kecil Tiada Tempat Tinggal

Tak dapat dibayangkan, hampir 3 minggu anak seusia 3 tahun ke 11 tahun hidup berpindah randah. Dari rumah saudara ke kaki lima kedai. Bagi sedikit keselesaan, ada sumbangan orang ramai, kenalah di hotel budget. Semuanya demi anak-anak.

Ramadan Al Mubarak, hari kedua berpuasa sebuah keluarga diadukan bergelandangan disekitar Bandar Baru Bangi. Rata-rata hanya mampu melihat dan sedikit simpati dengan menghulurkan seringgit dua untuk mengalas perut.

Team Operasi Agihan Daerah Hulu Langat diketuai oleh Ketua Operasi Agihan Daerah Hulu Langat segera menjejaki keluarga ini. Segera mendapatkan maklumat, dari premis ke premis kami mencari sehinggalah kepada penemuan keluarga tersebut.

Sungguh hiba kami lihat, mereka tampak keletihan, terutamanya 5 anak kecil yang di bawa bersama.

“Kami dah tak fikir untuk diri sendiri, apa yang saya fikirkan sebagai seorang ibu, hanyalah untuk anak-anak”- luah beliau dengan penuh pengharapan

Segera diusahakan bantuan kecemasan dan tempat tinggal sementara agar dapat memberi ruang untuk keluar dari kebuntuan. Kami menyalurkan sumbangan wang tunai untuk makan minum dan menyewakan 2 hari homestay bagi memberikan keselesaan anak-anak kecil sementara urusan mencari rumah sewa.

Alhamdulillah ada yang bersimpati, tanpa deposit yang diminta oleh tuan rumah, dibenarkan untuk masuk ke rumah sewa dengan segera.

Selain itu kami juga telah mendaftarkan keluarga ini sebagai asnaf sementara bagi mengurangkan masalah yang dihadapi.

Segala aduan dan siasatan yang dijalankan adalah melihat kepada keperluan asasi atau utama. Selebihnya, keluarga ini perlu mengusahakan sesuatu agar dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Kami di Lembaga Zakat Selangor, sentiasa bergerak menyantuni bukan sahaja “gelandangan” tetapi warga setempat yang memerlukan.

Semoga dengan bantuan yang disalurkan ini, dapat membuka ruang lebih luas buat keluarga ini untuk mengubah taraf hidup.

Buat pengeluar zakat di Selangor khasnya, anda tetap HERO dihati mereka yang menerima manfaat dari wang zakat anda.

Kredit : Team Operasi Agihan Daerah Hulu Langat

Athirah

When nothing goes right, go left.