Siakap Keli
kanak-kanak maut kuarters hospital
Kredit: @jllmisai/X

Kanak-kanak Empat Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 16 Kuarters Hospital

Kanak-kanak Empat Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 16 Kuarters Hospital

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada 4.28 petang dan anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang kanak-kanak telah meninggal dunia.

Beliau berkata siasatan awal ke atas ibu dan bapa mangsa yang kedua-duanya berumur lingkungan 30-an mendapati ketika kejadian, seisi keluarga itu sedang tidur.

“Ketika ibu mangsa bangun dari tidur, beliau mendapati anak bongsunya itu berada di bahagian luar tepi jendela di ruang tamu yang telah terbuka tetapi tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi dan punca kematian masih dalam siasatan.

“Satu kertas siasatan kes mati mengejut telah dibuka berkait kejadian tersebut dan ibu bapa mangsa juga akan diambil keterangan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.

BACA: Malaysia Airlines Umum Kerjasama Dengan Manchester United

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma