Siakap Keli
kereta terperosok bawah treler
Gambar: Sinar Harian

Lelaki Maut Kereta Terperosok Bawah Treler

Seorang lelaki dilapor maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di hadapan kilang pengeluar kaca di kawasan Perindustrian Lipat Kajang, Melaka, lapor Sinar Harian.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.39 pagi Isnin itu telah meragut nyawa Ahmad Johari Mohamad Nin, 48, yang bekerja sebagai pemandu bas kilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi, treler tersebut sedang menuju ke jalan besar menghala ke Lipat Kajang dari arah kilang kaca, yang merupakan tempat kejadian.

Katanya, kereta yang dipandu mangsa yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Wak Joe’ itu gagal mengelak treler yang telah keluar simpang itu lalu terperosok di bahagian tengah kenderaan berat itu.

“Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan di tempat kejadian juga mendapati jalan lurus, cuaca baik dan permukaan jalan kering,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan gambar dan video kemalangan yang turut menunjukkan seorang wanita berbaju hitam sedang memarahi seorang lelaki yang dipercayai pemandu kenderaan berat tersebut.

Dalam video tersebut wanita itu meraung selepas mendapati mangsa yang dipercayai ahli keluarganya meninggal dunia.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana