Siakap Keli
mas kahwin pahang
Gambar: BERNAMA

Kadar Mas Kahwin Pahang Dinaikkan Bermula RM100 – Sultan Pahang

Kadar Mas Kahwin Pahang Dinaikkan Bermula RM100 – Sultan Pahang

Kadar mas kahwin di negeri Pahang yang sebelum ini berjumlah RM22.50 telah dinaikkan kepada RM100, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, perubahan itu dibuat susulan bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.

“Maka hari ini saya dengan ini memperkenankan pindaan kadar mas kahwin di negeri pahang iaitu bermula dengan kadar RM100.

“Kadar baharu ini adalah lebih munasabah sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Namun penentuan kadar maksimumnya adalah tertakluk kepada kemampuan dan peruntukan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Insya-Allah kerajaan pun dah luluskan”, titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Masjid Al-Hidayah Perumahan Alor Akar, Kuantan serta Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah.

Turut berkenan berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Setelah diamalkan sejak tahun 1900, kadar semasa mas kahwin Pahang ialah RM22.50, mengikut Seksyen 21 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005.

Titah baginda, pada masa kini perubahan nilai dan faedah yang begitu ketara telah berlaku.

Sementara itu, baginda juga bertitah supaya masyarakat membina keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah.

Bagi membentuk keluarga bahagia, setiap keluarga perlulah memberikan kasih sayang, mempunyai tolak ansur selain mengamalkan sifat-sifat yang baik, titah baginda.

Sumber: RTM

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana