Ramai Yang Keliru, Kenali Kelas Kenderaan 1 Hingga 5
Kita sudah pun berada pada pertengahan akhir bulan Ramadan, maka pelbagai rancangan mula dilakukan untuk menghadapi bulan Syawal.
Antara persiapan yang dilakukan adalah membeli baju raya, mempersiapkan hidangan raya serta menghias rumah untuk menyambut tetamu.
Selain itu, anak-anak perantauan juga telah merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Pelbagai mod perjalanan yang dipilih antaranya bas, kereta persendirian, kapal terbang dan lain-lain.
Secara lazimnya. individu-individu yang menaiki kereta akan menggunakan lebuh raya untuk sampai ke destinasi dengan lancar.
Jika melalui lebuh raya, anda sudah semestinya bakal melalui plaza-plaza tol.
Kebiasaannya, plaza tol di Malaysia menawarkan tiga mod pembayaran iaitu Touch N’ Go, Smart Tag dan RFID. Ada sesetengah plaza tol pula telah menawarkan mod pembayaran bagi kad kredit dan kad debit.
Apa yang dimaksudkan dengan kelas kenderaan pada plaza tol?
Bayaran yang dikenakan pula ditentukan berdasarkan kelas kenderaan yang anda naiki. Apabila mendengar berkenaan kelas kenderaan, apa yang terlintas di fikiran kita?
Ada yang menjawab jenis lesen memandu seperti D, E, PSV dan sebagainya. Ada juga yang menyangka bahawa istilah kenderaan kelas pertama di plaza tol merujuk pada kenderaan milik orang kenamaan atau VIP.
Sebenarnya jawapan-jawapan di atas semuanya tidak tepat kerana jenis kelas kenderaan ditentukan melalui jenis kenderaan yang dibawa semasa melalui plaza tol.
Menurut hantaran PLUSmiles di Facebook, terdapat lima jenis kelas kenderaan. Kenderaan kelas 1 adalah kenderaan yang memiliki dua gandar dan tiga, atau empat tayar kecuali Teksi. Ini merujuk kepada kereta-kereta yang digunakan di atas jalan raya, termasuk kenderaan e-hailing.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Kenderaan kelas 2 pula merujuk kenderaan yang memiliki dua gandar, dengan lima atau enam tayar kecuali bas. Ini merujuk kepada kenderaan berat komersial bersaiz kecil.
Seterusnya, kenderaan kelas 3 merujuk kepada kenderaan yang memiliki tiga gandar atau lebih. Ia kebiasaan kenderaan berat komersial yang panjang.
Teksi tergolong sebagai kenderaan kelas 4 dan bas pula adalah kenderaan kelas 5.
Mesti ramai tertanya, bagaimana plaza tol dapat menentukan kadar bayaran tol mengikut kelas kenderaan, sedangkan pemandu tidak menggunakan mod pembayaran tunai.
Menurut PLUS, terdapat sistem yang digunakan oleh pihaknya untuk mengenal pasti kenderaan yang melalui lorong tol.
Dengan ini, anda tidak perlu risau atau gentar jika anda terlebih bayar atau terkurang. Anda hanya perlu memastikan anda masuk ke lorong pembayaran yang betul bagi memudahkan urusan.
Kebanyakan lorong plaza tol diperuntukkan untuk kelas pertama, anda boleh melihat ada palang had ketinggian pada kebanyakan lorong.
Manakala, lorong tol untuk semua kelas akan berada pada bahagian paling kiri, dan tidak memiliki penghadang had ketinggian di atasnya.
BACA: Selalu Dengar Dalam MRT, Ini Rupanya Individu Di Sebalik Suara ‘Stesen Berikutnya..’
Sumber: PLUSMiles via Facebook