Siakap Keli
bapa meninggal restoran

Hasrat Buat Kejutan Tak Kesampaian, Bapa Meninggal Sebelum Restoran Dilancarkan

Hasrat Buat Kejutan Tak Kesampaian, Bapa Meninggal Sebelum Restoran Dilancarkan

Selalunya kita dengar antara sebab utama seseorang mendirikan restoran adalah untuk mencari sumber pendapatan atau mengubah nasib.

Berbeza dengan seorang lelaki asal Manjung, Perak ini, cita-citanya adalah untuk memberikan kejutan buat ayahnya yang tercinta. Muhammad Zairul Nizam Zulkapli (35) bersama isterinya Nurazlina Aziz (33) telah mengusahakan sebuah restoran di Cyberjaya iaitu Meatime.

Dengan berkonsepkan Retro dan 1980-an, kita dapat melihat pelbagai hiasan yang menyuntik perasaan nostalgia semasa mengunjunginya.

 Bahtera bapa kulinari berlayar

Ketika menelusuri bahagian dalam restoran berkenaan, pengunjung dapat melihat satu lukisan mural yang memiliki corak abstrak. Jika diamati setiap keterangannya, ada buih dan seakan-akan bentuk kapal.

Manakala, salah satu mural memaparkan kata-kata daripada seorang individu yang cukup penting buat pemilik restoran berkenaan.

“Kalau kita tak dapat apa yang kita suka, bersyukur dan sukalah apa yang kita dapat, tak semua yang kita nak baik untuk kita”

Itulah kata-kata daripada bapa kepada Zairul Nizam, seorang individu yang menjadi inspirasinya untuk menceburi karier kulinari.

Tubuhkan restoran untuk beri kejutan kepada bapa, yang sangat menghargai kerjaya dalam bidang kulinari

Kedua-dua pasangan ini telah menamakan restoran ini sebagai Meatime, iaitu gabungan Me Time dengan Eat Time.

Berkonsepkan family restaurant, pelbagai menu yang ditawarkan di sini bagi memenuhi citarasa setiap ahli keluarga di rumah anda.

Hidangan yang ditawarkan merangkumi masakan tradisional Melayu, masakan barat dan banyak lagi. Antara kesemua hidangan yang disajikan di Meatime, terdapat dua hidangan menjadi signature di sana iaitu Kuetiau Goreng signature daripada Zairul Nizam sendiri dan resepi kebanggaan bapanya, Nasi Arang.

Untuk makluman, Zairul Nizam merupakan anak kepada Bintara Muda Zulkapli Mohd Salleh (TLDM), seorang anggota tentera laut dan juga merupakan Bendari iaitu Tukang Masak di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau menyifatkan bapanya seorang yang tegas, lagi-lagi perkara yang melibatkan penyediaan makanan. Oleh sebab itu, bapanya telah membuka perniagaan katering di kampung halamannya di Manjung.

“Kalau kita tahu chef sememangnya dah garang, inikan pula chef dekat navy,” beliau berseloroh ketika menggambarkan karakter bapanya.

Sebelum ini, Zairul Nizam sememangnya telah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setelah beberapa tahun terlibat dalam dunia kulinari, beliau bersama isterinya terdetik untuk membuka satu restoran untuk menyajikan hidangan-hidangan bapanya.

Perancangan restoran itu telah dirahsiakan daripada bapanya dan ingin memberinya satu kejutan pada bulan Ogos 2023.

Hajat untuk beri kejutan kepada bapa tidak kesampaian…

Akan tetapi, hajat Zairul Nizam tidak kesampaian apabila bapanya, Zulkapli telah kembali ke rahmatullah pada Jun 2023, dua bulan sebelum pelancaran restoran terbabit.

Berita pemergian bapanya sudah semestinya memberikan satu kejutan buat lelaki tersebut dan menyebabkan dirinya tidak dapat meneruskan rancangan seketika.

“Dunia saya terasa gelap untuk seketika,” katanya ketika mendengar berita yang tidak dapat ditelan pahitnya buat kali pertama.

Namun, berkat keazaman dan kata-kata daripada orang tersayang di sekelilingnya, akhirnya Zairul Nizam berjaya berdiri semula dan meneruskan rancangan untuk membuka restoran.

Kali ini, misinya adalah untuk memastikan legasi resipi-resipi peninggalan bapanya dapat dirasai oleh orang ramai. Dengan ini, legasi bapanya akan terus ‘berlayar’, sungguhpun sudah tidak lagi berada di sini.

Kisah Zairul Nizam dan isterinya, Azlina sememangnya memberikan inspirasi buat para peniaga di luar sana. Bagi mengetahui kisah kebangkitan semula beliau dan pelbagai onak duri yang diharunginya, anda boleh menonton video di bawah:

Jika anda terliur dan ingin ‘memasuki bahtera kulinari’ keluarga Zairul Nizam, anda boleh mengunjungi Meatime di Cyberjaya setiap hari Ahad hingga Jumaat, 10.00 pagi hingga 11.00 malam.

BACA: Belajar Jahit Kasut Dari Bekas Banduan, Bisnes Abang Ni Dah Bertahan 2 Dekad

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma