Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024
NILAI, 2 APRIL 2024 – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 yang akan berkuat kuasa dari 5 April hingga 19 April 2024.
Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu 5 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 9 hari selepas perayaan. Sebanyak 22 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 dan senarai barangan adalah seperti berikut:
- Daging lembu tempatan (kecuali daging batang pinang) (*Harga maksimum di Semenanjung sahaja);
- Daging kerbau import (*Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan WP Labuan sahaja);
- Daging lembu import (*Harga maksimum di Sarawak sahaja);
- Tomato;
- Cili merah;
- Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing);
- Kacang panjang;
- Timun;
- Sawi hijau;
- Halia tua import;
- Bawang besar merah import;
- Bawang kuning besar;
- Bawang putih (China);
- Ubi kentang import (China);
- Cili kering kerinting;
- Kacang tanah;
- Kelapa biji (*Harga maksimum di peringkat borong sahaja);
- Kelapa parut (*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja);
- Ikan kembung termasuk ikan mabung (saiz antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram);
- Ikan selayang (saiz antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram);
- Ikan aya atau tongkol (saiz antara 1 ekor hingga 2 ekor setiap kilogram) (*Dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja);
- Ikan demuduk, sagai, cermin atau cupak (saiz antara 3 ekor hingga 5 ekor setiap kilogram) (*Dikawal di Sabah sahaja)
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi. Semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my.
Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui AKHAP 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran berikut:
- WhatsApp : 019-848 8000 / 019-279 4317;
- Portal e-Aduan KPDN : http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre : 1-800-886-800;
- Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
- Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) : 03-8882 6245 / 6088.