Siakap Keli
tembakan klia suspek serah diri
Gambar: Sinar Harian

Tembakan Di KLIA: Polis Gesa Suspek Serah Diri

Tembakan Di KLIA: Polis Gesa Suspek Serah Diri

SEPANG — Pihak polis memberi amaran kepada suspek Hafizul Zarawi, 38, yang terlibat dalam kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi agar memberikan kerjasama dengan menyerahkan diri di mana-mana balai polis, lapor Sinar Harian. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain selepas semua kontinjen negeri telah digerakkan untuk mengesan suspek.

“Semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen negeri terdekat dan bersempadan dengan negara jiran telah digerakkan bagi mengesan suspek.

“Jadi kepada saudara Hafizul saya sarankan datang ke mana-mana balai menyerah diri dengan aman, jangan kita ikut amarah kita, dia akan memburukkan lagi keadaan,” ujarnya dalam sidang akhbar di tempat kejadian pada hari ini.

Menurutnya, suspek disarankan untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan kerana kejadian yang berlaku pada pagi itu sudah pun terjadi.

Tambahnya, punca kejadian dipercayai berkait dengan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

“Selepas kita tangkap suspek baru kita akan dapat motif sebenar.

“Dalam konteks ini polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan juga berbahaya dan orang awam yang melihat suspek ini agar dapat berkongsi maklumat dengan pihak polis dan jangan bertindak sendiri,” katanya lagi.

BACA: Tembakan Di KLIA: Suspek Miliki Tiga Rekod Jenayah Lampau

Beliau memberikan amaran keras bahawa kejadian itu diambil berat oleh Bukit Aman kerana ia melibatkan kawasan penting keselamatan pintu masuk negara.

Sebelum ini dalam kejadian sekitar 1.20 pagi, seorang pengawal peribadi cedera parah selepas terkena satu das tembakan, manakala isteri suspek yang menjadi sasaran utama terselamat.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan berlaku kejadian tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi.

Bagaimanapun, jelasnya keadaan sudah terkawal dan kembali selamat.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Kejadian Tembak Menembak Di KLIA Terminal 1 Bersifat Peribadi – Polis

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?