Siakap Keli
stesen kereta api unik
Kredit: Persatuan Kartografi Melaka

Tercatat Dalam Naskah Lama, Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Stesen Kereta Api Unik Di Georgetown

Tercatat Dalam Naskah Lama, Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Stesen Kereta Api Unik Di Georgetown

Sekumpulan penyelidik telah menemui lokasi yang menempatkan stesen kereta api usang di bandar raya Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini.

Menariknya, stesen kereta api itu difahamkan tidak memiliki landasan dan kereta api sejak dahulu lagi.

Misi menjejaki lokasi bersejarah memuatkan fasiliti stesen kereta api unik ini telah dilakukan pasukan penyelidik Railway Cartographic Research Project (RailCREP) dan Persatuan Kartografi Melaka.

Manakala penulisan berkenaan penemuan itu telah ditulis oleh Shahrul Azzim Abd Aziz dan Dr. Mohamad Rohaizat Abdul Wahab.

Mereka telah memuat naik hasil penemuan di hantaran Facebook Persatuan Kartografi Melaka pada 12 April lepas.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

Berdasarkan hantaran tersebut, lokasi itu dikenali sebagai Malayan Railway Building dan tapak Railway Jetty.

“Malayan Railway Building atau bangunan Malayan Railway terletak di Gat Lebuh China, George Town, Pulau Pinang,” jelasnya.

Bangunan bersejarah ini difahamkan telah siap dibina sekitar tahun 1909 dan merupakan bangunan fasiliti yang pernah memuatkan pejabat pentadbiran, tempat membeli tiket dan juga restoran suatu ketika dahulu.

Stesen kereta api yang tidak memiliki landasan kereta api

“Di dalam peta lama yang diterbitkan pada tahun 1938, bangunan bersejarah ini dilabelkan sebagai F.M.S.R Station tetapi tiada landasan kereta api berhampirannya seperti kebiasaan yang terdapat di stesen kereta api yang lain.

“Hal ini kerana terdapatnya “Railway Jetty” berhampiran bangunan tersebut yang membawa penumpang dari kawasan pulau ke Perai,” ujarnya.

Perkara ini turut dibuktikan melalui naskah kartografi yang diterbitkan pada tahun 1954. Dalam naskah tersebut, terdapat laluan feri yang membawa penumpang dari “Railway Jetty” yang terletak di kawasan pulau ke Stesen Kereta Api Perai yang terletak di tanah besar.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

“Laluan feri di dalam peta lama tersebut dirujuk sebagai ‘Railway Steam Launch Services‘,” jelas Persatuan Kartografi Melaka.

Bukan itu sahaja, terdapat juga peti surat lama yang terletak berhadapan Malayan Railway Building ini yang masih kukuh terpelihara.

BACA: Bakal Dirobohkan Untuk Projek ECRL, Wanita Kongsi Kenangan Aidilfitri Terakhir Di Rumah

Sumber: Persatuan Kartografi Melaka via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma