Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Direkodkan Dalam Naskhah Kartografi Lama, ECRC Jejaki Tinggalan Bangunan Bersejarah Di Lereng Bukit Melaka

Bukit Melaka
Kredit: Encik Kartografi

Di sebalik sesuatu kawasan, terdapat pelbagai kisah sejarah yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat pada masa kini.

Tinggalan bangunan lama, artifak serta rekod peta terdahulu merupakan antara bukti yang dapat membantu kita memahami kehidupan masyarakat dan perkembangan sesebuah kawasan pada zaman dahulu.

Oleh itu, penelitian terhadap warisan sejarah amat penting bagi mengungkap kembali kisah silam serta memastikan peninggalan tersebut terus dihargai dan dipelihara oleh generasi akan datang.

Baru-baru ini, Shahrul Azzim Abd Aziz (Encik Kartografi) dari ECRC Malaysia kembali semula ke salah sebuah lokasi bersejarah yang terletak di lereng Bukit Melaka, sebuah kawasan yang menyimpan tinggalan sejarah dan warisan seni bina lampau yang masih dapat disaksikan sehingga hari ini.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini:

Kredit: Encik Kartografi
Kredit: Encik Kartografi

Di lokasi ini terdapat tapak bekas runtuhan binaan lama yang sebahagian besarnya dibina menggunakan blok batu laterit.

Walaupun sebahagian daripada struktur asalnya telah mengalami perubahan akibat peredaran masa, sisa-sisa binaan yang masih kekal memberikan gambaran tentang kewujudan sebuah struktur lama yang pernah berdiri di kawasan tersebut.

Kedudukan lokasi ini juga amat menarik untuk diteliti dari perspektif sejarah dan kartografi.

Terletak di bahagian tenggara Bukit Melaka, kawasan ini mempunyai kedudukan yang strategik khususnya dalam konteks pergerakan maritim dan hubungan antara kawasan pesisir dengan perairan Selat Melaka.

Pada suatu ketika dahulu sebelum berlakunya proses penambakan tanah di kawasan sekitarnya, pemandangan dari lokasi ini membolehkan pergerakan kapal yang datang dari arah selatan Selat Melaka diperhatikan.

Selain itu, Pulau Besar juga dapat dilihat dari kawasan ini sekali gus memperlihatkan hubungan visual antara lokasi runtuhan tersebut dengan landskap perairan Melaka.

Menariknya berdasarkan penelitian terhadap salah sebuah naskhah kartografi lama bertajuk Plan oder Grund Riss der Stadt u. Vest. Malacca yang dihasilkan pada sekitar tahun 1744, kelihatan sebuah struktur bangunan ditandakan pada kawasan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan lokasi runtuhan ini.

Berdasarkan kedudukan yang ditunjukkan dalam naskhah tersebut, lokasi berkenaan terletak di belakang tapak S. Anthoni Kirch (Gereja St. Anthony).

Pemerhatian ini memberikan satu petunjuk awal yang menarik dalam usaha menelusuri sejarah binaan tersebut.

Hampir 300 tahun direkodkan dalam naskhah kartografi lama, ECRC jejaki tinggalan bangunan bersejarah di lereng bukit Melaka

Kewujudan struktur bangunan yang direkodkan dalam naskhah kartografi lama ini membuka ruang kepada penyelidikan lanjut bagi mengenal pasti sama ada runtuhan yang masih wujud di lapangan pada hari ini merupakan sebahagian daripada binaan yang telah direkodkan pada naskhah kartografi yang berusia hampir 300 tahun tersebut atau sebenarnya merupakan tinggalan sebuah struktur yang telah dibina lebih awal.

Walau bagaimanapun, hubungan antara struktur yang ditunjukkan dalam peta lama dengan runtuhan fizikal yang masih wujud pada hari ini belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Penyelidikan lanjut masih diperlukan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang sejarah, fungsi dan tempoh pembinaan struktur tersebut.

Kredit: Encik Kartografi
Kredit: Encik Kartografi

Dalam konteks ini, naskhah kartografi lama bukan sekadar menjadi sumber rujukan untuk mengenal pasti kedudukan sesuatu lokasi malah turut berperanan sebagai dokumen sejarah yang dapat membantu penyelidik memahami perubahan landskap dan perkembangan sesebuah kawasan dari semasa ke semasa.

Melalui penelitian terhadap tinggalan fizikal di lapangan, perbandingan dengan naskhah kartografi lama serta analisis perubahan landskap, Encik Kartografi berusaha menelusuri kembali sejarah lokasi ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kedudukannya dalam sejarah Melaka.

Sesunguhnya setiap runtuhan mempunyai cerita yang tersendiri

Namun untuk memahami cerita tersebut, kita perlu kembali ke lapangan, meneliti setiap tinggalan yang masih ada dan menghubungkannya dengan rekod sejarah serta peta-peta lama yang pernah dihasilkan.

Diharapkan agar tinggalan binaan bersejarah ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan khususnya dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan sejarah Melaka.

Kewujudan runtuhan ini bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut sejarah dan seni bina, malah berpotensi menjadi sumber penting dalam penyelidikan kartografi sejarah serta pemahaman terhadap perkembangan landskap Melaka pada masa lampau.

Kredit: Encik Kartografi
Kredit: Encik Kartografi

Semoga tinggalan yang masih wujud ini dapat dipelihara dan dilindungi agar tidak terus mengalami kemusnahan sekali gus memastikan warisan sejarah ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Penyelidikan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ECRC Malaysia dalam menelusuri sejarah melalui pendekatan kartografi, geografi dan penelitian terhadap tinggalan warisan yang masih wujud di lapangan.

Sumber:Facebook
Intipati
  • ECRC Malaysia menjejaki runtuhan binaan lama di lereng Bukit Melaka baru-baru ini.
  • Peta lama sekitar 1744 menunjukkan struktur dipercayai berkait dengan lokasi runtuhan tersebut.
  • Hubungan antara peta lama dan runtuhan fizikal masih memerlukan penyelidikan lanjut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan