Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Persatuan Kartografi Jalankan Misi Pencarian Dusun Diraja Kesultanan Melayu Melaka

misi pencarian dusun diraja
Kredit: Encik Kartografi
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Persatuan Kartografi Jalankan Misi Pencarian Dusun Diraja Kesultanan Melayu Melaka

Umum mengetahui bahawa sejarah merupakan sesuatu perkara yang amat penting untuk dipelajari dan diterokai. Hal ini kerana, sejarah menggambarkan sesuatu peristiwa atau kisah silam yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu.

Biasanya, tempat-tempat bersejarah ini sering dikaitkan dengan bukti penemuan monumen ataupun bangkai dan rangka yang menunjukkan sesuatu perkara pernah berlaku di kawasan tersebut.

Namun, sejajar dengan peredaran zaman, peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini kurang diketahui dan diambil perhatian.

Kali ini, barisan penyelidik Etiquity Cartographic Research Centre dan Persatuan Kartografi Melaka yang diwakili Shahrul Azzim Abd Aziz (Encik Kartografi), Mohd Faizal Khusairy Razali dan Mohd Hazreen Hairudin berpeluang untuk menyertai misi pencarian dusun diraja kesultanan Melayu Melaka.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Misi Pencarian Dusun Diraja Kesultanan Melayu Melaka (Sarvaratos / Sarvarrallos).

Mengaktifkan semula misi eksplorasi pencarian lokasi yang pernah menempatkan Dusun Diraja Kesultanan Melayu Melaka dan dinyatakan oleh Manuel Godinho de Eredia pada penulisan dan naskah kartografi yang dihasilkan beliau di dalam karya bertajuk Declaracam de Malaca e India Meridional com o Cathay tahun 1613.

Beliau menerangkan tentang Dusun Diraja yang merupakan salah satu warisan peninggalan Kesultanan Melayu Melaka yang terletak di punca air Sungai Baru di dalam Bab 4, Mengenai Antikuiti (CAP.4. DE: ANTIGVIDADES).

Penulisan beliau berkenaan Sarvaratos / Sarvarrallos:

E nas fontes de Sunebaru, permanecem aquelles rastros do pomar real de sarvarrallos onde estão plantados as arvores de todo genero de fructaes gostosos e toda especie de flores, e rozas cheyrozas e odoriferas como hum parayso terreal.

Atau diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu:.

Di mata air Sunebaru (Sungai Baru), masih terdapat kesan-kesan kebun Diraja Sarvarrallos, di mana ditanam pelbagai jenis pokok buah-buahan yang lazat serta pelbagai spesies bunga dan mawar yang harum dan wangi, seolah-olah sebuah syurga duniawi.

Berdasarkan gambaran yang ditulis oleh Eredia di dalam naskah berusia lebih 400 tahun tersebut, kelihatan kawasan yang dimaksudkan ialah sebuah Dusun Diraja yang terlalu indah dan mempunyai banyak buah-buahan dan bunga-bungaan umpama syurga dunia.

Kajian yang dijalankan barisan penyelidik Etiquity Cartographic Research Centre dan Persatuan Kartografi Melaka yang diwakili Shahrul Azzim Abd Aziz, Mohd Faizal Khusairy Razali dan Mohd Hazreen Hairudin menganalisis beberapa nota penyelidikan dan naskah penulisan pengkaji sebelum ini yang menerangkan tentang kewujudan dusun-dusun yang indah di Sungai Baru yang pernah dijejaki oleh mereka sekitar tahun 1800an dan 1900an.

Kredit: Encik Kartografi

Barisan penyelidik membahagikan kepada beberapa kawasan utama dalam menjalankan kajian dan penyelidikan secara terperinci antaranya di sekitar Masjid Tanah, Ayer Limau, Durian Daun, Solok Duku, kampung Jeram, Kampung Pulau, Lubok Redan, Ayer Molek dan beberapa lagi kawasan lain yang terletak di lembangan Sungai Baru.

Pemerhatian dan analisis hidrologi juga amat penting dalam usaha mengesan lokasi-lokasi yang menempatkan mata air kepada Sungai Baru kerana terdapat banyak anak sungai yang merupakan tributari kepada Sungai Baru.

Perbincangan dan eksplorasi bersama penduduk tempatan juga dilakukan dalam mengenalpasti kawasan yang dahulunya pernah menempatkan pokok buahan-buahan yang tua dan mungkin telah berusia ratusan tahun lamanya yang menjadi tempat permainan mereka ketika zaman dahulu.

Kredit: Encik Kartografi

Penduduk tempatan di Kg. Lubok Redan yang terletak di lembangan Sungai Baru, Encik Abd Wahab Ismail dan Encik Johari Ghani juga berkongsi kisah mereka sewaktu kecil dan remaja tentang kewujudan pokok durian dan pokok sepam tua yang begitu besar dan tinggi yang masih wujud pada ketika itu.

Dikhabarkan pokok sepam tersebut menjadi penampan angin kuat yang melanda kampung tersebut.

Berdekatan kampung ini juga terdapat kawasan sawah yang terpapar di dalam naskah kartografi lama sekitar tahun 1940an ke 1960an yang dinamakan sebagai Sawah Labohan Kapal.

Encik Kartografi

Mengikut cerita penduduk tempatan dan cerita yang diwarisi orang tua mereka, di lokasi sawah ini pernah menjadi kawasan berlabuhnya kapal-kapal yang memudiki Sungai Baru.

Tetapi pada masa kini, kelihatan kelebaran Sungai Baru semakin mengecil dan keadaanya pasti berbeza pada masa lalu terutamanya sekitar ratusan tahun yang lalu.

Kredit: Encik Kartografi

Terdapat banyak perkara yang perlu dikenalpasti dan dikaji dalam usaha mengesan lokasi Dusun Diraja Sarvarrallos atau Sarvaratos ini yang sehingga kini masih belum dapat dipastikan.

In Sha Allah semoga suatu masa nanti, Dusun Diraja ini dapat dikenalpasti walaupun berkemungkinan besar, keadaan asal lokasi ini telah berubah sama sekali memandangkan telah berusia ratusan tahun.

Kumpulan penyelidik juga akan terus melakukan kajian berterusan di kawasan lain yang terletak di lembangan Sungai Baru sehinggalah suatu masa nanti dapat diketahui lokasi sebenar Sarvarrallos atau Sarvaratos ini.

Kajian berkenaan Dusun Diraja ini bukan sekadar usaha akademik, tetapi merupakan satu tanggungjawab dalam menyingkap kembali lambang keagungan sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang pernah memayungi rantau ini ratusan tahun dahulu.

Mengangkat kembali sejarah kewujudan Dusun Diraja ini bererti kita sedang dalam usaha memulihkan naratif warisan yang hampir tenggelam sejak ratusan tahun lamanya agar generasi hari ini dan akan datang tidak sekadar mewarisi cerita tetapi memahami makna sebenar kegemilangan yang pernah terukir di bumi Melaka.