Siakap Keli
Beras Dibuang Di Tapak Lupus Sampah Telah Rosak, Tidak Selamat Dimakan – KPKM
Sumber: KPKM

Beras Dibuang Telah Rosak, Tidak Selamat Dimakan – KPKM

Beras Dibuang Telah Rosak, Tidak Selamat Dimakan – KPKM

Sejak semalam, tular di media sosial berhubung pembuangan puluhan kampit beras dan barangan keperluan lain seperti tepung dan sardin di Temerloh, Pahang.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah tapak pelupusan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur di Gunung Senyum, Kuala Krau.

Susulan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini tampil memberikan maklum balas berkenaan isu terbabit.

Menerusi satu kenyataan media, KPKM menjelaskan bahawa pihaknya memandang serius mengenai isu tular yang berlaku.

Dengan itu, satu siasatan telah dijalankan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh di lapangan. Difahamkan, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Perbersihan Awam (SWCorp) turut hadir di lokasi.

KPB Cawangan Temerloh menyatakan siasatan awal mendapati bahawa beras-beras tersebut telah rosak serta tidak sesuai dan tidak selamat untuk dimakan.

“Oleh itu, KPKM menasihatkan semua agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini yang masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 [Akta 522],” kata KPKM.

Dalam pada itu, individu yang memiliki sebarang maklumat lanjut atau aduan berhubung isu ini boleh mengemukakannya secara rasmi menerusi portal aduan atau e-emel rasmi KPB, atau boleh berhubung di talian 0388701751/1748/1183.

BACA: Tular Rakaman Puluhan Kampit Beras, Tepung & Sardin Didakwa Dibuang

Sumber: KPKM

Sharifah Hannah Adibah