Siakap Keli
BNM keluarkan duit syiling
Gambar: BNM

BNM Lancar Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Ke-50 LPP

BNM Lancar Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Ke-50 LPP

Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan pengeluaran duit syiling RM10 dan RM1 peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Lembaga Pertubuhan Ladang (LPP).

Menurut BNM dalam satu kenyataan, duit syiling peringatan itu akan dikeluarkan dalam dua denominasi berbeza iaitu, duit syiling peringatan Perak sterling berwarna (pruf) dan duit syiling peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).

“Bagi syiling pruf, sejumlah 1,000 keping telah ditempa dan duit syiling ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 31 gram.

“Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM275 sekeping.

Sementara itu bagi syiling B.U, ia diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan mempunyai berat 8.5 gram.

“Sejumlah 5,000 keping telah ditempa dan nilai muka duit syiling tersebut ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping.

“Duit syiling itu juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM330,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata pihaknya menyediakan sejumlah 1,000 set untuk pembelian dan dalam set tersebut ia mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic.

Reka bentuk duit syiling

Gambar: BNM

Pada bahagian hadapan duit syiling ia memaparkan imej seorang petani yang sedang memerhatikan mesin penuai dan dron baja.

Imej tersebut melambangkan sumbangan LPP dalam memodenkan serta meningkatkan produktiviti pertanian di Malaysia.

Sementara itu, imej tanaman padi (duit syiling perak sterling sahaja yang mengandungi imej ini secara berwarna) dipaparkan pada bahagian bawah syiling, melambangkan penanaman yang subur.

Motif ini mengambil inspirasi daripada visi LPP untuk menerajui transformasi pelbagai pertubuhan peladang di Malaysia serta untuk menggalakkan pembangunan peladang yang berdaya saing dan produktif.

Sekiranya dilihat pada bahagian atas syiling, ia memaparkan ukiran teks “LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG” dan “JUBLI EMAS”.

Gambar: BNM

Manakala bahagian belakang pula tertera nama BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling.

Logo ulang tahun ke-50 LPP (duit syiling perak sterling sahaja yang mengandungi logo berwarna) dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarkan bayangan pelbagai ternakan.

BACA: Nahas Dua Helikopter TLDM: 10 Mangsa Disahkan Terkorban

Teks “1 RINGGIT” atau “10 RINGGIT” dipaparkan pada bahagian bawah syiling yang menunjukkan nilai muka syiling tersebut.

“Setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

“Tempahan boleh dibuat bermula 11 pagi Isnin 22 April 2024 hingga 11 malam Ahad, 5 Mei 2024 melalui duit.bnm.gov.my,” ujarnya

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.

“Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.

“Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” jelas BNM lagi.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?