Siakap Keli
datuk red ceraikan adira
Gambar: Instagram

Datuk Red Ceraikan Adira Talak Satu

Datuk Red Ceraikan Adira Talak Satu

RAWANG, 24 April (Bernama) — Kemelut rumah tangga yang melanda penyanyi Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Red berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di sini hari ini.

Datuk Red, 43, atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu melafazkan cerai talak satu terhadap Adira, 33, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi di hadapan Hakim Syarie Abdul Hadi Umar selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan penyanyi itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Hakim syarie itu turut memerintahkan Adira menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian mereka.

Hari ini ditetapkan untuk lantikan hakam namun pasangan itu bersetuju bercerai secara baik berdasarkan terma-terma persetujuan yang kemudian direkodkan mahkamah.

Pada prosiding hari ini, Adira diwakili peguam syarie Nor Saidah Zakaria manakala Adnan diwakili peguam syarie Muhammad Akmal Amzan.

Adira memfailkan perceraian buat kali kedua dengan suaminya pada 25 Okt tahun lalu selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Adira yang popular dengan lagu ‘Pujaan Hati’ pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.

Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Dis 2015 sebagai isteri kedua dan  dikurniakan empat anak berusia antara dua hingga tujuh tahun.

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana