Siakap Keli

Beraya Dengan Toyota Corolla Cross, Pandu 1,800km Isi Minyak 3 Kali Je

Beraya Dengan Toyota Corolla Cross, Pandu 1,800km Isi Minyak 3 Kali Je

Penulisan Oleh Ilyyas Zain

Minggu lepas, Yang Berhormat Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi telah mengumumkan yang subsidi petrol bersasar akan terus dilaksanakan pada tahun ini.

Antara alternatif yang boleh digunapakai oleh rakyat Malaysia untuk menghadapi perlaksanaan ini adalah samada menggunakan kenderaan berkuasa hibrid yang jimat pembakaran minyak petrol.

Kali ini, SK berpeluang untuk pandu uji sebuah kereta SUV hibrid dari Toyota iaitu Toyota Corolla Cross Hybrid yang telah dilancarkan di Malaysia pada Januari 2022.

Dari pengalaman kami selama dua minggu dengan SUV hibrid ini, SK dapat simpulkan beberapa sebab kereta hibrid sesuai untuk digunakan di Malaysia.

  1. Penggunaan minyak petrol yang sangat jimat

Sepertimana yang ramai tahu, kereta hibrid mempunyai dua sistem untuk menggerakkan kereta iaitu enjin dan motor. Berbeza dengan kereta petrol biasa yang menggunakan 100% petrol, kereta hibrid memecut dari pegun menggunakan motor yang dikuasai oleh bateri dan seterusnya menggunakan enjin petrol selepas mendapat kelajuan yang sesuai dan ada ketikanya motor membantu enjin untuk memberi pecutan. Perkara ini membantu untuk mengurangkan pembakaran petrol.

Semasa pandu uji kami, Toyota Corolla Cross mampu mendapat purata sebanyak 20km/l atau 5l/100km untuk setiap perjalanan. Setiap tangki penuh yang sebanyak 36 liter juga mampu bergerak sejauh 600km. Ini adalah hasil dari pemanduan separa bandar dan jarak jauh. Untuk sebuah kenderaan SUV dengan tangki yang agak kecil, jumlah ini sangat jimat! Sepanjang pemanduan kami beraya sejauh 1,800km, kami hanya mengisi petrol sebanyak 3 kali saja dengan setiap kali isi sebanyak RM65.

 

  1. Kuasa pecutan yang mantap

 Kereta hibrid selalunya memecut menggunakan motor elektrik, dan kuasa yang diberi adalah segera. Motor yang terdapat pada Toyota Corolla Cross hibrid ini memberikan  tork segera yang mampu memberi pecutan yang baik walaupun SUV ini berat. Kami tidak mempunyai sebarang masalah untuk memecut dari keadaan pegun ataupun semasa memotong kenderaan lain sepanjang pemanduan. Kami memotong lori di lebuhraya dan kereta di jalan kampung dengan  sangat yakin.

 

  1. Mod EV menjadikan kabin terasa lebih senyap

Apabila mod EV diaktifkan, kereta bergerak tanpa menggunakan enjin dan hanya motor yang menggerakkan kenderaan. Enjin akan berada dalam keadaan dorman dan senyap. Jadi, sepanjang berada di dalam mod EV yang terbina di dalam Toyota Corolla Cross Hybrid, kereta terasa senyap dan pemanduan terasa seperti membawa kereta yang mahal. 

Walaubagaimanapun, mod EV ini hanya boleh digunakan pada kelajuan perlahan dan pada masa yang singkat. Mod EV ini pula tidak tersedia pada kesemua kenderaan hibrid, hanya beberapa kenderaan hibrid saja yang mempunyai fungsi ini terbina dan salah satunya adalah Toyota Corolla Cross Hybrid.

  1. Kotak gear yang lancar

Kereta hibrid moden dari Toyota menggunakan teknologi e-CVT yang berfungsi seakan-akan transmisi CVT tanpa sebarang ratio gear seperti yang terdapat pada kotak gear AT atau DCT.  Berbeza dengan kotak gear CVT, Pemanduan hanyalah menggunakan satu gear saja, menjadikan pemanduan yang lancar. Sepanjang kami memandu Toyota Corolla Cross Hybrid, kami tidak berasa sebarang sengguk walaupun SUV ini dah berumur dua tahun.

Apa lagi yang menarik dengan Toyota Corolla Cross Hybrid ni selain dari sistem hibrid?

  • Kerusi yang selesa

toyota corolla cross isi minyak

Kami telah pandu sejauh 1,800 km dalam tempoh 2 minggu sahaja dan ada hari yang kami memandu sejauh 500 km. Duduk di dalam SUV ini berasa selesa untuk setiap peringkat umur. Sepanjang pemanduan semasa, ibu bapa masih boleh berehat pada tempat duduk belakang dan pemandu boleh fokus pada pemanduan tanpa perlu kerap mengubah posisi duduk.

  1. Ruang kargo yang besar

But sebesar 440 liter yang terdapat dengan Toyota Corolla Cross Hybrid ini agak besar dan cukup untuk memuatkan bagasi untuk keluarga kecil balik beraya. Pengalaman kami sendiri, ibu bapa di kampung masih boleh bekalkan barangan tambahan untuk dibawa pulang yang boleh dimuatkan di dalam but.

toyota corolla cross isi minyak

  1. Sistem ADAS yang membantu semasa pemanduan jarak jauh

ADAS membantu mengurangkan kelesuan semasa memandu di lebuh raya. Cuma aktifkan Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist, pemandu boleh berada dalam keadaan yang lebih santai tanpa perlu mengawal kelajuan kereta dan roda stereng. Tapi, pastikan tetap fokus pada jalan raya!

Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa faktor yang bakal pembeli kereta hibrid ini perlu menitikberatkan, antaranya adalah kos pemilikan kereta hibrid adalah sedikit mahal berbanding petrol, kos jangka masa panjang adalah sedikit tinggi terutamanya pada bateri yang barangkaliperlu ditukar setelah tempoh 10 tahun dan juga beberapa fitur yang terpaksa dibuang seperti tayar gantian yang tidak diberi.

Tetapi dengan kadar harga petrol yang akan dinaikkan dalam masa terdekat, kereta hibrid satu adalah satu pembelian yang berbaloi untuk jangka masa yang panjang.

Toyota Corolla Cross Hyrid kini dijual dengan harga RM143,000.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)