Siakap Keli
Tesla Mula Menjual Robot
Kredit: Tesla_Optimus via X

Elon Musk Dedah Tesla Mungkin Jual Robot Humonoid Bermula Tahun Depan

Elon Musk Dedah Tesla Mungkin Jual Robot Humonoid Bermula Tahun Depan

Elon Musk baru-baru ini dilapor memberi bayangan bahawa robot humonoid keluaran Tesla kini sudah bersedia untuk dipasarkan bermula tahun 2025.

Menurut portal Electrek, syarikat pengeluar kereta elektrik itu turut merancang untuk mula menggunakan robot berkenaan di fasiliti pengeluarannya menjelang hujung tahun hadapan.

Sebelum ini, Tesla telah melancarkan robot humonoid generasi kedua, Optimus Gen 2 yang berupaya mengambil alih tugas berulang daripada manusia.

Malah, prototaip yang didedahkan itu juga menunjukkan banyak penambahbaikan berbanding versi terdahulu, sekaligus memulihkan kredibiliti projek berkenaan.

Boleh buat tugas manusia, robot humonoid Tesla mungkin mula dijual tahun depan

Menurut Electrek lagi, Tesla memanfaatkan sepenuhnya kemampuan kecerdasan buatan (AI) yang dipasang dalam projek kereta pandu sendiri untuk menghasilkan robot berkenaan.

Malah, projek kereta tersebut juga mendapat manfaat daripada kepakaran Tesla dalam menghasilkan bateri dan motor elektrik.

Tesla sebelum ini berkata, kereta elektrik yang mereka hasilkan sebenarnya adalah sebuah robot yang bergerak di atas jalan. Langkah seterusnya yang mereka mahu lakukan adalah menghasilkan produk yang sama dalam bentuk humonoid.

Tujuannya adalah untuk mengambil alih tugas berulang dan berbahaya daripada manusia.

Bakal jadi penyumbang majoriti pendapatan Tesla untuk jangka masa panjang

Terdahulu, Elon pernah mendakwa robot humonoid itu tidak mendapat penghargaan dan pengiktirafan yang sepatutnya daripada orang ramai.

Dia juga percaya apabila Optimus dilancarkan kelak, permintaan terhadap robot tersebut boleh mencecah sehingga angka bilion. Malah, beliau menjangkakan setiap isi rumah selepas ini akan memiliki sebuah robot yang dapat membantu mereka melakukan tugas-tugas harian.

Dalam pada itu, Elon juga yakin Optimus bakal menjadi penyumbang kepada pendapatan majoriti Tesla dalam jangka masa panjang.

Setakat ini, harga robot humonoid tersebut masih belum didedahkan. Namun sebelum ini, Elon berkata kos untuk menghasilkan Optimus adalah lebih rendah daripada kos untuk menghasilkan separuh kereta.

Oleh itu, berdasarkan pendedahan berkenaan, Electrek menjangkakan Optimus mungkin dijual pada harga bermula USD25,000.

BACA: 9 Kenderaan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) Ini Layak Mohon Diesel Bersubsidi & Fleet Card

Sumber: Electrek.co

Athirah

When nothing goes right, go left.