Siakap Keli

Kisah Seorang Guru Jadi Mangsa Love Scam, Adaptasi Sebuah Kisah Benar

Kisah Seorang Guru Jadi Mangsa Love Scam, Adaptasi Sebuah Kisah Benar

Tidak dinafikan kes yang membabitkan jenayah scam sememangnya cukup serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit.

Sehubungan itu, ia telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Dream Film Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem berjudul OPPA.

Pengarahnya, Captain Denil berkata, ia adalah sebuah filem tentang jenayah ‘love scam’ yang sering berlaku dalam segelintir masyarakat sekarang.

seorang guru jadi mangsa love scam

“Adakalanya saya berasa pelik kerana ada mangsa jenayah ini terdiri daripada golongan terpelajar. Mungkin kurangnya kesedaran menjadi faktor utama apabila masih ramai yang menjadi mangsa.

“Jadi, ia memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan filem Oppa ini, sekurang-kurangnya mesej boleh disampaikan kepada masyarakat menerusi platform filem,” ujarnya.

Jelasnya, filem arahannya itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Oppa memaparkan kisah seorang guru yang bercinta dengan seorang jejaka Korea, tetapi mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya itu tiba-tiba menghilangkan diri.

Lebih malang lagi, guru tersebut turut menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang daripada mereka semata-mata untuk diberikan kepada kekasihnya itu. 

seorang guru jadi mangsa love scam

Filem berkenaan menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta influencer popular,  Jacqueline Goh Wan Yi serta pelakon-pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi.

Menurut Denil, tajuk ‘Oppa’ dipilih bukanlah semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi ada berlaku kejadian di mana ada individu menggunakan gambar artis kacak Korea Selatan untuk memperdayakan mangsa menerusi ‘dating apps’ di media sosial.

Jelasnya lagi, jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini adalah adaptasi kisah sebenar yang pernah berlaku berdasarkan laporan kepada pihak polis.

seorang guru jadi mangsa love scam

“Untuk menghasilkan filem Oppa kami telah mendapat kerjasama daripada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan menariknya terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang turut terlibat menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini.

“Malah, seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan beliau banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis agar kerja-kerja penggambaran dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, Denil mengakui kesukaran mencari penaja dan pelabur untuk menghasilkan filem berkenaan ternyata memberi cabaran tersendiri buat dirinya.

Ujarnya, ketika peringkat awal pembikinan, tidak ramai yang berminat untuk melabur kerana Oppa bukanlah sebuah filem komersial.

seorang guru jadi mangsa love scam

“Filem ini lebih kepada memberi kesedaran dan berbeza dengan filem berbentuk komersial. Namun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami.

“Apa pun saya lega dan ingin berterima kasih kerana masih ada yang sudi melabur untuk merealiasikan filem Oppa, termasuk kepada PDRM yang sangat banyak membantu kami,” ujarnya.

Pada masa sama, pengarah itu juga mengharapkan agar filem terbaharunya itu dapat memberi impak kepada penonton.

“Paling penting, kepada mereka yang menonton filem Oppa nanti akan sedar tentang bahayanya jenayah love scam yang semakin kerap berlaku.

“Sekurang-kurangnya cerita yang dipaparkan boleh menjadi pengajaran supaya tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini.

Filem OPPA Love Scam akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 9 Mei 2024.

Nurul Naqiyah