Siakap Keli
baki akaun 2 3 kwsp
Kredit: KWSP

Boleh Sekali Je, Ini Cara Sebahagian Baki Akaun 2 Dipindahkan Ke Akaun 3 KWSP

Boleh Sekali Je, Ini Cara Sebahagian Baki Akaun 2 Dipindahkan Ke Akaun 3 KWSP

KWSP hari ini telah mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP yang bakal berkuat kuasa pada 11 Mei 2024.

Menurut portal KWSP, akaun pencarum dibawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Dalam pada itu, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel (turut disebut sebagai Akaun 3) akan bermula dengan baki sifar.

Mekanisme Akaun Fleksibel yang pencarum kena tahu

Caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuat kuasa akan diagihkan 75% kepada Akaun Persaraan, 15% kepada Akaun Sejahtera dan 10% kepada Akaun Fleksibel.

Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun pencarum selepas tarikh pelaksanaan.

Manakala simpanan dalam Akaun Fleksibel itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan pencarum.

Pencarum diberi masa untuk memindahkan sebahagian baki Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel

Bagaimanapun, bermula 11 Mei hingga 31 Ogos 2024, pencarum diberi peluang SEKALI SAHAJA untuk memindahkan sebahagian daripada baki dalam Akaun Sejahtera (dahulunya Akaun 2) ke Akaun Fleksibel sebagai baki permulaan.

Sekiranya pencarum memilih peluang itu, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh pencarum.

Namun begitu, sekiranya pencarum memilih untuk tidak berbuat demikian, maka TIADA sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Berikut adalah cara bagaimana sebahagian baki Akaun Sejahtera (Akaun 2)  akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) KWSP

Bagi yang memilih untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan Akaun Sejahtera, kaedah pelaksanaan adalah seperti dibawah.

Ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera:

  • Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;
  • Lima per tiga puluh (5/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan
  • Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Ahli yang mempunyai simpanan kurang daripada RM3,000 dalam Akaun Sejahtera:

  • Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
  • Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Bagi pencarum yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau ‘Self-Service Terminal’ yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara bermula 11 Mei ini.

BACA: Akaun 3 KWSP Bermula 11 Mei Ini

Sumber: KWSP

Athirah

When nothing goes right, go left.