Siakap Keli
Cara Buat Telur Pindang, Makanan Tradisi Johor
Kredit: dak_adams via TikTok

Cara Buat Telur Pindang, Makanan Tradisi Johor

Cara Buat Telur Pindang, Makanan Tradisi Johor

Malaysia ialah sebuah negara yang didiami oleh lapisan masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan budaya.

Kepelbagaian masyarakat inilah yang menjadikan tanah air kita yang tercinta ini istimewa. Setiap masyarakat memiliki keistimewaan masing-masing, itulah ‘kekayaan Malaysia’.

Bila bercakap tentang masyarakat Malaysia, maka pastinya sering kali dikaitkan dengan makanan tradisional yang pelbagai, berwarna-warni, menarik dan unik.

Sebut sahaja tentang makanan tradisional, sudah pasti setiap masyarakat memiliki makanan tradisi sendiri yang menjadi kebanggaan kaum masing-masing.

Pernah dengar tak tentang telur pindang, makanan tradisi yang berasal dari Johor? Sebenarnya, telur pindang ialah makanan tradisi orang Cina yang terbuat dari telur rebus dengan rempah atau herba tertentu sehingga memiliki rasa dan aroma tersendiri.

Biasanya, telur pindang dijadikan makanan ringan, dan ia dijual di tepi jalan atau pasar malam. Ia juga selalu dihidangkan di kenduri kahwin, terutamanya kenduri kahwin orang Melayu-Johor.

Zaman sekarang, kita perlukan makanan yang cepat siap dan tahan lama. Takkan hari-hari nak menjamah makanan segera?

Kalau nak tahu, telur pindang tahan lama dan tidak basi hingga dua minggu. Sesuai sangatlah telur pindang ini sebagai hidangan sampingan sekiranya malas memasak.

Bolehlah masak dalam kuantiti yang banyak, simpan dalam peti sejuk dan panaskan sebelum makan.

Justeru itu, SK hari ini akan berkongsi resepi telur pindang yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok (@dak_adams).

@dak_adams

Mana ORANG JDT ???? Komen sikit! adam minta izin ye share resepi telur pindan warisan asli orang johor ni. Kali ke-2 adam buat telur pindang ni. Tapi kali ni terus buat dekat 500 biji untuk majlis kakak nak kahwin😂 sebelum ni buat 70 biji je. . Maaf kalau ada bahan yang tak cukup or cara tak betul ke, maklum la awak ni anak jati rembau😅 sekadar untuk makan sendiri dan resepi dari setiap orang itu berbeza2. Tapi adam cuba buat sejohor yg boleh😅Rugi tau siapa yang tak makan or tak pernah makan. Sedap sangat telur pindang ni. #telurpindang #reseptiktok #resepitelurpindang #resepi #johor

♬ suara asli – Lmv12 – Lmv12

Berdasarkan video tersebut, beliau yang mesra dikenali sebagai Adam dari Rembau, berkongsikan resepi telur pindang bagi 500 biji telur sebagai hidangan tambahan bagi kenduri kahwin kakaknya.

Bahan-bahan yang diperlukan

Banyak bahan yang diperlukan untuk memasak telur pindang. Antaranya, resepi ini memerlukan daun yang pelbagai dalam kuantiti yang banyak.

Daun itu termasuklah daun serai, daun pandan, daun lengkuas, daun manggis, daun mengkudu, daun senduduk, daun jambu batu, daun salam dan daun bebuas.

Selain itu, kita perlukan rempah-ratus iaitu jintan manis, jintan putih dan ketumbar yang dikisar halus serta lengkuas yang dihiris.

Tidak lupa jugak, garam, kicap pekat, asam keping dan sudah semestinya telur. Telur tidak perlu direbus terlebih dahulu atau direndam. Cukup dibilas dengan air atau lap dengan kain basah sahaja supaya bersih.

Menurut Adam, bahan unik telur pindang ini termasuklah kulit bawang untuk memekatkan kuah, aroma dan menjadi ‘span’ kepada telur-telur supaya tak bergerak apabila direbus.

Cara penyediaan

Pertama sekali, tebarkan kain bersih yang besar di atas permukaan kuali yang akan digunakan. Kemudian, susun semua daun secara berselang-seli. Selepas itu, taburkan kulit bawang di atas lapisan daun-daun tadi diikuti dengan lapisan telur.

Susun telur secara berdiri dan rapat supaya tidak bergerak semasa direbus serta semua telur masak sekata. Seterusnya, taburkan rempah-ratus dan garam di atas telur.

Untuk resepi telur pindang, kita memang gunakan banyak rempah-ratus. Jangan kedekut kalau nak makan sedap. Taburkan rempah-ratus secukupnya.

Kemudian, ulang langkah-langkah tersebut sehingga telur habis. Untuk 500 biji telur seperti dalam video, kita akan dapat hasilkan tiga lapisan.

Masukkan air melebihi telur sampai telur tenggelam. Kemudian, tuangkan kicap pekat dan susun asam keping. Kemudian, tutup semuanya dengan kain bersih dan reneh semua sekali dalam 3 hari 3 malam atau selama seminggu dalam api kecil.

Selepas direneh untuk jangka masa lama, boleh keluarkan telur-telur dari periuk dan boleh dimakan. Boleh juga letak dalam bekas yang bersesuaian dan simpan dalam peti sejuk.

Dah siap, makan dengan nasi panas mesti bertambah selera. Tapi, perasan tak rupa telur pindang ni macam telur rendam kicap ala Korea?

Apa-apa pun, selamat mencuba.

BACA: Ramai Tak Tahu Bunga Turnera Boleh Kawal Serangga Perosak, Ini Penjelasannya

Sumber: Dak Adams via TikTok

Sharifah Hannah Adibah