Siakap Keli
um penceramah warga asing
Gambar: BERNAMA

Sedia Laporan Segera, KPT Arah UM Siasat Kenyataan Sensitif Penceramah Warga Asing

Sedia Laporan Segera, KPT Arah UM Siasat Kenyataan Sensitif Penceramah Warga Asing

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara berhubung tindakan seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati sentimen masyarakat sekaligus mencetuskan kontroversi.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata beliau telah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah itu dibatalkan segera.

“KPT mengambil maklum dan memandang serius isu yang melibatkan seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat, seperti yang tular di media sosial.

“Saya turut meminta UM untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan setiap agensi dan institusi di bawah KPT untuk sentiasa melakukan semakan yang berhati-hati sebelum menjemput mana-mana individu ke program yang dianjurkan.

Menurutnya, setiap perkara yang dibuat perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi kerajaan.

“Pada masa sama, suka untuk saya ingatkan kepada setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.

“Setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan,” katanya.

Jelasnya, meskipun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia.

Sumber: Kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi

BACA: Rang Undang-undang Hapus TikTok Di AS Diluluskan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana