Siakap Keli

TEJA Ikon Baharu Julang Keunggulan Mahasiswi UTeM

 TEJA Ikon Baharu Julang Keunggulan Mahasiswi UTeM

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melancarkan ikon baharu TEJA bagi menyerlahkan ketrampilan mahasiswi universiti ini agar terus dinamik dan unggul di pentas pendidikan tinggi negara merentas dunia.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pemilihan ini berteraskan srikandi hebat dan tabah serta cekal menghadapi dugaan malah berjiwa kental iaitu Tun Teja, maka atas keistimewaan inilah, UTeM mengambil semangat dan keperibadian unggul TEJA untuk disemaikan dalam diri mahasiswi UTeM.

teja utem
Sewaktu gimik perasmian majlis pelancaran ikon TEJA, baru-baru ini.

Ujarnya, pemilihan TEJA bukanlah kerana sejarah Tun Teja semata-mata namun ia dipilih atas dasar semangat dan akronim TEJA itu sendiri selari yang dilihat selari dengan TUAH.

“Seperti mana sedia maklum, pada 8 Mac 2019 lalu, ikon dan atribut TUAH telah diperkenalkan yang mana TUAH itu sendiri bermaksud Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik, merupakan representasi kepada ciri-ciri juga atribut mahasiswa yang ingin dilahirkan. 

“TEJA merupakan kesinambungan dari pelaksanaan ikon dan atribut TUAH yang membawa maksud yang sama. T bermaksud Tangkas, E bermaksud Elegan, J bermaksud Jagat dan A bermaksud Adaptif. 

teja utem
Bergambar kenangan sempena dengan majlis pelancaran ikon TEJA di Dewan Auditorium, Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

“Dengan adanya ikon dan atribut TEJA ia dikhususkan untuk keunggulan peribadi mahasiswi manakala TUAH dikhususkan untuk mahasiswa,” ujarnya dalam ucapan sewaktu majlis pelancaran ikon TEJA di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, baru-baru ini. 

Inisiatif ini adalah seiringan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat iatu “Pendidikan Berkualiti” yang mana secara perinciannya berkaitan rapat usaha menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua.

Inisiatif murni ini telah digerakkan dengan jayanya oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor HEPA UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, menjadi tanggungjawab kami terus komited mengemudi lonjakan pemerkasaan mahasiswa dan mahasiswi universiti ini secara berterusan.

Katanya, nilai-nilai ini akan diterapkan dalam keseluruhan komuniti mahasiswa dan mahasiswi UTeM, secara langsung berupaya meningkatkan kemenjadian bakat mereka yang akhirnya mampu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi cemerlang, seimbang dan holistik. 

teja utem
Sewaktu gimik perasmian majlis pelancaran ikon TEJA, baru-baru ini.

Majlis pelancaran ikon TEJA tersebut telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor dan Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar.

Nurul Naqiyah