Siakap Keli
China: Ibu Mertua Upah Kren Angkat Menantu Baru Bersalin Ke Rumah Di Tingkat 7
Sumber: SCMP

China: Ibu Mertua Upah Kren Angkat Menantu Baru Bersalin Ke Rumah Di Tingkat 7

China: Ibu Mertua Upah Kren Angkat Menantu Baru Bersalin Ke Rumah Di Tingkat 7

Seorang wanita di China mengupah kren untuk mengangkat menantu perempuannya ke rumah keluarga itu di tingkat tujuh sebuah pangsapuri.

Menurut SCMP, menantunya baru pulang dari hospital selepas bersalin. Wanita muda itu dibenarkan keluar dari hospital pada penghujung Mac selepas bersalin secara pembedahan, dan pulang ke rumah di Shenyang, wilayah Liaoning.

Difahamkan, pangsapuri tempat kediaman mereka tidak mempunyai lif. Ibu mertua, bernama Wang, bimbang menantunya terlalu banyak bergerak dan merasa sakit sekiranya menaiki tangga.

Oleh itu, dia meminta anak lelakinya untuk menghubungi syarikat kren supaya mereka boleh menggunakan kenderaan itu untuk membantu menantunya.

Dalam video tular yang dimuat naik oleh Wang menerusi Douyin, seorang pekerja kren dilihat mengiringi seorang wanita muda menaiki pelantar. Kren itu kemudiannya mengangkat mereka ke balkoni rumah.

“Saya gembira mempunyai cucu. Menantu perempuan saya telah keluar dari hospital dan pulang dengan menaiki kren.

“Saya ingin menggembirakan menantu saya dan membantunya kekal sihat. Saya akan memanjakannya.

“Dia telah berkahwin dengan anak saya dan dia kini sebahagian daripada keluarga kami. Jika kami tidak menjaganya, siapa lagi?” ujar Wang.

Sementara itu, pemilik kren berkata bahawa kejadian ini merupakan kali pertama ia alami selama 15 tahun bekerja.

“Kren kami boleh mencapai ketinggian 30 meter dan menanggung berat ratusan kilogram. Tiada masalah keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga yang berusaha keras untuk menjaga wanita selepas bersalin sering menjadi trend di media sosial di China.

Pada 2023, seorang lelaki di China menawarkan isterinya 100 yuan (RM66.01) bagi setiap langkah yang diambil semasa tempoh pemulihan daripada pembedahan caesar.

Pada 2022 pula, beberapa lelaki mengangkat seorang wanita yang baru selepas bersalin dalam bakul besar ke flatnya, bimbang wanita itu akan mengalami kesakitan selepas pembedahan jika dia berjalan.

BACA: Wajib Ambil Tahu, Doktor Kongsi Lima Sebab Kentut Bau Busuk

Sumber: SCMP

Sharifah Hannah Adibah