Siakap Keli
Selamatkan Budak Hampir Dilanggar
Kredit: EsmailBaher via X

Selamatkan Budak Hampir Dilanggar, Lelaki Terima Ganjaran Mewah

Selamatkan Budak Hampir Dilanggar, Lelaki Terima Ganjaran Mewah

Sejak video menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada dilanggar oleh kereta menjadi tular di media sosial, seorang lelaki dari Arab Saudi ‘dihujani’ pujian dan menerima pelbagai ganjaran mewah, lapor Gulf News.

Menurut media tempatan, lelaki yang bernama Abdullah Al Anzi itu memberhentikan keretanya apabila melihat seorang kanak-kanak berjalan di tengah jalan raya di bandar Al Kharj, tenggara Riyadh, untuk membolehkannya melintas dengan selamat.

Ketika Al Anzi berbuat demikian, dia melihat sebuah kereta dipandu laju menuju ke arah kanak-kanak itu.

Dalam percubaan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu, dia melakukan tindakan pantas dengan membelok keretanya untuk menghalang kereta lain daripada melanggar kanak-kanak tersebut.

Keretanya dirempuh, tetapi kanak-kanak tersebut selamat dan tiada sebarang kecederaan.

Tindakan Al Anzi itu lantas mendapatkan pujian apabila ramai yang menggelarnya “penyelamat”. Bagaimanapun, Al Anzi tidak menyifatkan dirinya sebagai “hero” kerana beranggapan sesiapa sahaja yang dalam situasi itu pasti bakal melakukan perkara yang sama.

Menerusi Gulf News, Al Anzi berkata, apabila melihat kanak-kanak tersebut di jalan raya, dia teringat akan anak lelakinya sendiri dan sanggup merosakkan harta benda miliknya daripada nyawa kanak-kanak itu melayang.

Dalam pada itu, Al Anzi memaklumkan, pemandu kereta yang merempuhnya menuntut bayaran sebanyak SR5,000 (RM6,376.72) sebagai pampasan bagi kerosakan yang dialami kenderaannya.

Buat baik dibalas baik, Al Anzi terima pelbagai barangan mewah

Susulan itu, selain ‘dihujani’ pujian, Al Anzi turut menerima pelbagai ganjaran mewah atas perbuatan murninya.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Hazah Aba Al Rus memberikan hadiah berupa wang tunai, pedang, kuda Arab dan jubah tradisional kepadanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan, Putera Al Walid bin Talal menghadiahkan sebuah kereta dan ganjaran berupa wang tunai, manakala terdapat dua ahli perniagaan masing-masing menghadiahkan sebuah kereta.

Bukan itu sahaja, sebuah kedai barang kemas turut menghadiahkan sebentuk cincin berlian kepada Al Anzi dan sebuah lagi kepada ibu budak itu.

Selain itu, Al Anzi juga mendapat lebih banyak hadiah termasuk tawaran untuk membaiki keretanya selain insurans dan bekalan petrol selama setahun.

Tidak hanya itu, sebagai tanda penghormatan, Gabenor Riyadh Putera Faisal bin Bandr menjemput Al Anzi ke pejabatnya.

Athirah

When nothing goes right, go left.