Siakap Keli
bapa rogol anak kandung lahir dua anak
Sumber: Sinar Harian

Bapa Rogol Anak Kandung Sejak Lapan Tahun Lalu Hingga Lahir Dua Anak

Bapa Rogol Anak Kandung Sejak Lapan Tahun Lalu Hingga Lahir Dua Anak

Seorang bapa tergamak melakukan sumbang mahram dengan merogol anak perempuannya hingga melahirkan dua orang anak.

Difahamkan, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an telah melakukan perbuatan keji itu sejak lapan tahun yang lalu.

Kejadian ini didedahkan oleh mangsa sendiri yang kini berusia 20 tahun, setelah membuat laporan polis pada jam lebih kurang 11.11 malam, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed mengesahkan kejadian ini dan menyatakan bahawa suspek telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Mangsa memaklumkan telah dirogol oleh bapa kandungnya sejak berumur 12 tahun malah kejadian ini pernah diceritakan kepada ibunya.

“Bagaimanapun ia tidak diendahkan walaupun mangsa telah melahirkan dua orang anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: Kisah Inspirasi Remaja Banting Tulang Cari Rezeki Sebagai Pengutip Sampah

Menurut Aidi Sham, siasatan awal mendapati bahawa kejadian bermula pada tahun 2016 dan berterusan sehingga kejadian terbaharu pada tahun ini.

“Kesemua kejadian rogol itu berlaku di dalam bilik iaitu di rumah mereka di Kampung Chuah, Port Dickson di sini.

“Hasil perbuatan sumbang mahram itu mangsa telah melahirkan dua orang anak yang mana seorang meninggal dunia ketika dilahirkan dan seorang lagi kini berusia tiga tahun.

“Susulan laporan polis tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas suspek lelaki dan isterinya yang berusia 40-an di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson jam lebih kurang11.40 pagi Jumaat,” katanya.

Selain itu, hasil semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki yang bekerja kampung dan suspek wanita itu masing-masing mempunyai rekod berkaitan kes dadah.

Tambah Aidi Sham, suspek telah dihadapkan di Mahkamah Seremban dan direman selama lima hari, bermula dari Sabtu hingga 8 Mei akan datang.

Dalam pada itu, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta sebatan, kerana melakukan perbuatan sumbang mahram.

BACA JUGA: Hujan Lebat & Banjir Di Brazil: 57 Maut, Ratusan Hilang

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah