Siakap Keli
kelantan fc tarik diri liga a1 semi pro
Gambar: Bernama

Kelantan FC Umum Tarik Diri Dari Liga A1 Semi-Pro

Kelantan FC Umum Tarik Diri Dari Liga A1 Semi-Pro

Kelab bola sepak, Kelantan FC mengumumkan bahawa pasukan itu menarik diri dari Liga A1 Semi-Pro dalam saingan MBSB Bank Championship 2024.

Presidennya, Norizam Tukiman dalam satu kenyataan berkata keputusan ini dibuat setelah beberapa penilaian dan pertimbangan teliti dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan.

“Terlebih dahulu, Kelantan FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Amateur Football League (AFL) di atas persetujuan dan penerimaan untuk pasukan Kelantan FC beraksi di Liga A1 Semi-Pro di bawah pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024.

“Walaubagaimanapun, selepas pertimbangan yang teliti, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak serta menyelesaikan kes-kes FIFA bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan FC,” katanya.

Menurutnya lagi, adalah penting untuk menyelesaikan kewajipan isu tunggakan gaji terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang usaha baharu.

Kelab itu juga memohon maaf di atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak AFL dan pihak berkepentingan.

“Kelantan FC juga ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada penyokong-penyokong pasukan TRW Kelantan FC di atas kegagalan pasukan beraksi cemerlang di dalam Liga Super Musim 2023 serta tidak menyertai Liga pada musim baharu ini.

“Tanggungjawab dan niat pasukan adalah untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu dengan segera sebelum Kelantan FC kembali menyertai liga bola sepak pada masa hadapan dalam keadaan yang lebih baik.

“Ucapan jutaan terima kasih kepada semua penyokong atas sokongan yang telah diberikan sepanjang musim 2020, 2021, 2022 dan 2023. Setiap sokongan anda amatlah kami hargai.

“Kelantan FC komited untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit dan akan membawa semula pasukan Kelantan FC di dalam liga pada musim akan datang.

“Akhir sekali, Kelantan FC memohon sokongan dan doa daripada anda semua untuk masa depan Kelantan FC yang lebih baik. Terima kasih atas dokongan dan doa anda semua,” kata Norizam.

BACA JUGA: Kelantan FC Tak Layak Bertanding Dalam Liga Super Musim Depan – MFL

Sumber: Kelantan FC

Sofea

There's always another side to every story