Siakap Keli
tiga maut empat cedera kereta terhumban dalam parit
Sumber: Astro Awani

Tiga Maut & Empat Cedera, Kereta Terhumban Dalam Parit

Tiga Maut & Empat Cedera, Kereta Terhumban Dalam Parit

Tiga maut dan empat lagi cedera setelah kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam parit. Insiden dilaporkan berlaku berdekatan Rumah Ngambang di Batu 72, Suai, Niah, pada Ahad.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kejadian tersebut kira-kira jam 6:55 petang.

Mereka segera mengejarkan dua jentera dan tujuh anggota dari Balai Bomba Batu Niah ke tempat kejadian bersama sebuah ambulans EMRS dari Balai Lopeng.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang membawa tujuh penumpang.

“Dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pasukan paramedik Klinik Kesihatan Batu Niah,” katanya.

Tambah Henderi, pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan empat mangsa yang berada di dalam longkang dan seorang lagi di kawasan semak.

Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pasukan paramedik yang mengesahkan bahawa tiga daripadanya telah meninggal dunia.

“Identiti mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Evelyn Shely Manyie, 26 tahun, Eddy Indau, 26 tahun dan Jenging Tinsok, 39 tahun,” katanya.

Mayat mereka telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Manakala empat lagi yang cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, telah dikejarkan ke Hospital Miri.

BACA: Tak Sempat Ke Hospital, Wanita Kongsi Pengalaman Lahirkan Anak Dalam Kereta

Sumber: Astro Awani

Sharifah Hannah Adibah