Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Guru Parah, Tiga Pelajar Cedera Kereta Bertembung Lori

Guru Parah Tiga Pelajar Cedera
Kredit: Bernama

Guru Parah, Tiga Pelajar Cedera Kereta Bertembung Lori

MELAKA, 8 Julai (Bernama) -- Seorang guru dan tiga pelajar lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan lori di Solok Duku, Masjid Tanah hari ini.

Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.24 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi.

“Guru lelaki berusia 24 tahun dan seorang pelajar berusia 16 tahun yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan parah selepas tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas.

“Dua lagi pelajar masing-masing berusia 15 dan 16 tahun mengalami kecederaan. Mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba manakala pemandu lori berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata anggota bomba turut menggagalkan cubaan beberapa individu yang dipercayai cuba mengambil barangan dan wang peribadi milik guru berkenaan ketika operasi menyelamat dijalankan.

“Semua barangan milik mangsa berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.