Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

JOHOR BAHRU, 23 Jun (Bernama) -- Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 31.9 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Pegawai Bomba Kanan II Khairil Mohd Adzami berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.02 pagi sebelum sebuah jentera dari BBP Kulai bersama bantuan BBP Bandar Baru Kulai dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata setibanya di lokasi pada 10.03 pagi, didapati kemalangan membabitkan enam kenderaan dengan beberapa buah kenderaan terbakar.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena, treler membawa muatan besi pagar, pacuan empat roda Toyota Hilux, van Nissan Vanette, lori 10 tan membawa muatan mozek dan lori bonded satu tan.
"Pemandu treler, iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kematiannya disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata empat mangsa lain membabitkan pemandu Toyota Hilux berusia 29 tahun, dua lelaki berusia 32 dan 29 tahun yang berada di dalam van serta seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu lori bonded satu tan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
"Bagaimanapun, maklumat mengenai pemandu lori kontena dan lori 10 tan tidak dapat diperoleh kerana mereka tiada di lokasi ketika operasi dijalankan," katanya. Dalam kejadian itu, Khairil berkata Toyota Hilux terbakar kira-kira 90 peratus, manakala van Nissan Vanette turut mengalami kemusnahan sama.

“Dua lagi kenderaan, iaitu treler yang membawa muatan besi pagar terbakar kira-kira 80 peratus sementara lori 10 tan serta lori bonded satu tan masing-masing terbakar 60 peratus dan tidak mengalami kerosakan besar,” katanya.
Beliau berkata operasi pemadaman melibatkan 10 anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan setakat petang ini, operasi masih diteruskan bagi memastikan kawasan kejadian dalam keadaan selamat.