Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Dua penuntut universiti warga tempatan rentung dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta di susur keluar Jalan Kuching, Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) pada awal pagi tadi, manakala seorang lagi penumpang warga asing terselamat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati kereta jenis BMW 328I Sport yang dinaiki mangsa dipandu laju dari arah Jalan Duta menghala ke Selayang sebelum hilang kawalan dan terbabas, lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sehingga menyebabkan kenderaan terbakar.
“Dua mangsa yang maut ialah pemandu, iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga pelajar Universiti Brisbane, Australia dan penumpang hadapan, iaitu pelajar lelaki daripada Universiti Sunway berusia 21 tahun.
“Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana dipercayai terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa yang terselamat ialah lelaki warga Singapura berusia 20 tahun yang mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Zamzuri berkata proses pengecaman kedua-dua mangsa yang rentung akan dijalankan melalui analisis asid deoksiribonukleik (DNA).
Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian dan mengambil keterangan awal daripada mangsa yang terselamat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee melalui talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.20 pagi.