Siakap Keli

Penuh Kemeriahan Lebih 10,000 Banjiri Rumah Terbuka Aidilfitri UTeM

Penuh Kemeriahan Lebih 10,000 Banjiri Rumah Terbuka Aidilfitri UTeM

Lebih 10,000 tetamu membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diadakan penuh kemeriahan bertempat di perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka, semalam.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kebiasaannya Majlis Mahabbah Aidilfitri dianjurkan pada waktu siang hari di perkarangan Dewan Canselor UTeM, namun pada tahun ini UTeM mengambil pendekatan yang berbeza dengan menganjurkan majlis ini pada waktu malam.

rumah terbuka aidilfitri utem

Ujarnya, ini adalah bagi menonjolkan kemeriahan Cahaya Aidilfitri itu sendiri dan juga sebagai satu inisiatif untuk mengimarahkan lagi Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM. 

Katanya, terdapat sebanyak lebih daripada 30 khemah makanan dengan lebih 20 jenis juadah disediakan kepada para tetamu antaranya seperti 20 ekor kambing golek, nasi beriani, sate, ketupat dan rendang, aneka jenis mi, ubi rebus dan juga pelbagai jenis air minuman. 

“Pada majlis yang sama UTeM turut meraikan seramai 25 orang Jemaah Haji UTeM bagi tahun 1445H (2024) dengan pemberian sumbangan tunai kepada setiap Jemaah Haji sebanyak RM300 melalui Tabung Kewangan Masjid Saiyyidina Abu Bakar UTeM dan Badan Kebajikan Staf UTeM (BAKUTeM).

rumah terbuka aidilfitri utem

“Diharapkan semoga sumbangan yang diberikan ini serba sedikit akan dapat membantu dari segi persediaan ahli jemaah dalam menjalani ibadah haji tidak lama lagi.

“Pihak UTeM merakamkan penghargaan kepada UTeM Holdings Sdn. Bhd. yang telah menaja RM150,000.00 bagi penganjuran majlis pada malam ini dan tidak lupa juga kepada Yayasan Canselor UTeM dan juga BAKUTeM yang turut sama menaja majlis kita pada malam ini,” katanya.

Majlis Mahabbah Aidilfitri UTeM diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah Ab Rahman.

rumah terbuka aidilfitri utem

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Mengulas lanjut Massila berkata, majlis ini turut mencapai objektif penganjuran sebagai medan ikatan ukhuwah silaturrahim antara seluruh warga UTeM yang terdiri daripada warga kerja bersama dengan kumpulan mahasiswanya iaitu TUAH dan TEJA.

Sementara itu, program ini merupakan sebahagian pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Nurul Naqiyah