Siakap Keli
selangor tarik diri piala sumbangsih
Sumber: Stadium Astro

Selangor Bakal Tarik Diri Aksi Piala Sumbangsih?

Selangor FC Bakal Tarik Diri Aksi Piala Sumbangsih?

Pasukan Selangor FC berpotensi untuk menarik diri dari penyertaan mereka dalam perlawanan Piala Sumbangsih musim 2024/25, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Berdasarkan kenyataan kepada media semalam, Shahril menyatakan pandangan tersebut disebabkan oleh insiden yang melibatkan pemain sayap Merah Kuning, Faisal Halim, yang disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali pada Ahad lalu. Insiden ini dipercayai memberi kesan negatif kepada semua pemain dan pegawai dalam pasukan.

Faisal kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital selepas mengalami kecederaan yang serius, dan dua orang suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dalam pada itu, Shahril menjelaskan bahawa Selangor sedang melakukan penilaian menyeluruh terutama dari aspek keselamatan pemain dan pegawai pasukan.

BACA: Kes Simbah Asid Faisal Halim: Seorang Lagi Suspek Ditahan

Beliau turut memaklumkan bahawa pengurusan Merah Kuning menimbang semua pilihan yang ada termasuk menarik diri dari perlawanan Piala Sumbangsih. Sebarang keputusan yang diambil akan diumumkan tidak lama lagi setelah berbincang dengan semua pemain.

“Ini amat mencabar bagi saya untuk memberikan pandangan tentang situasi semasa terutamanya mengenai penyertaan kami dalam Piala Sumbangsih kerana saya tidak pasti sama ada kami akan menghantar pasukan ke Johor (atau tidak).

“Saya perlu berbincang dengan semua pemain kerana semua orang perlu memahami bahawa apabila insiden sebegitu berlaku, ini memberi impak psikologi yang besar kepada semua pemain dan pegawai dalam pasukan.

“Trauma tidak terhad kepada Faisal Halim sahaja, keluarganya termasuk anak-anaknya turut terjejas, begitu juga dengan pemain-pemain lain dalam pasukan.

“Berkenaan keputusan kami tentang (penyertaan dalam) Piala Sumbangsih, itu masih tidak diketahui. Kami akan mengumumkan pendirian kami tidak lama lagi bersama sebarang kemas kini daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam sebelumnya mengesahkan bahawa jadual perlawanan yang diatur termasuk Piala Sumbangsih akan diteruskan, tetapi sebarang perubahan akan dimaklumkan sekiranya ada.

Jika Selangor memutuskan untuk meneruskan penyertaan mereka dalam Piala Sumbangsih, mereka akan berhadapan dengan juara Liga Super musim 2023, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), pada Jumaat ini.

BACA JUGA: Tangan Kiri Faisal Halim Tiada Tindak Balas

Sumber: Stadium Astro

Sharifah Hannah Adibah