Siakap Keli
kpkt perlis

‘Sentuhan Kasih’ KPKT Peruntuk RM8.12 Juta Bagi Pembangunan Komuniti Di Negeri Perlis

‘Sentuhan Kasih’ KPKT Peruntuk RM8.12 Juta Bagi Pembangunan Komuniti Di Negeri Perlis

KANGAR, 7 Mei 2024 Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) telah meneruskan siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Negeri Perlis pada hari ini dan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.12 juta untuk  pelaksanaan 20 projek di Negeri Perlis. 

YB KM juga telah turun padang meninjau Kampung Warna Warni  Seberang Ramai, Kangar Street Art, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Sena dan Pasar Borong Sena. 

Turut hadir bersama ialah Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli; Exco  Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian  Kemiskinan Negeri Perlis, YB Tuan Asrul Aimran bin Abd Jalil; Ketua Setiausaha KPKT,  YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB  Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar.

KPKT telah meluluskan peruntukan seperti berikut: 

  1. RM1.5 juta untuk menyokong inisiatif Kajian Rancangan Struktur Negeri  Perlis 2040 (Kajian Semula). Matlamat kajian tersebut adalah bagi  memperkasakan pembangunan Negeri Perlis sebagai sebuah bandaraya yang  mampan, inklusif dan makmur (Sustainable, Inclusive and Prosperous). 
  2. RM100 ribu bagi menyokong inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)  Perlis 2024 iaitu Street Art for Cities ‘Mental Health’. Ia bertujuan menggalakkan  gaya hidup sihat dan mengetengahkan strategi untuk mewujudkan persekitaran  yang menyokong bandar sihat melalui aktiviti mobiliti aktif seperti berjalan kaki dan  penggunaan kenderaan mikromobiliti.
  3.  RM2.96 juta untuk penggantian 6 unit lif di Blok A dan B, PPR Seri Sena yang  telah pun siap pada tahun 2023. Projek ini memanfaatkan 1,864 penghuni PPR  Seri Sena. 
  4. RM1.7 juta bagi pelaksanaan lima (5) projek Program Penyenggaraan  Perumahan (PPP) di kawasan perumahan awam di Kangar. Ini termasuk  pendawaian elektrik untuk lampu kawasan dan koridor, penggantian paip  retikulasi, penggantian bumbung, dan pembaikan kerosakan harta bersama  seperti kebocoran tandas dan dapur.
  5. RM480 ribu bagi pembinaan semula 6 unit gerai di Pasar Borong Sena telah  pun siap pada tahun 2024. Projek ini turut dilengkapi dengan tandas lelaki, wanita  dan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta kemudahan surau lelaki dan wanita bagi  keselesaan peniaga dan pengunjung.
  6. RM1.38 juta turut disalurkan kepada Majlis Perbandaran Kangar bagi tahun 2024  bertujuan untuk menaiktaraf lampu, tandas awam dan pasar.

Menurut YB KM, “Peruntukan yang diluluskan ini adalah belanjawan berdasarkan prestasi atau “performance-based budget” untuk memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan. Tidak ada pembaziran, ketirisan, dan pemborosan.” 

KPKT melalui jabatan dan agensi di bawah KPKT akan sentiasa bekerjasama dengan PBT di seluruh negara dan sektor korporat bagi merealisasikan perancangan  pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat

Nurul Naqiyah