Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dilaporkan telah disimbah asid dalam satu kejadian di Damansara, pada Ahad lalu.

Difahamkan, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengalami cedera di bahagian badan, tangan dan muka.

Terdahulu, Faisal telah dihampiri oleh dua individu tidak dikenali sebelum disimbah asid dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya. Kemudian, beliau dipindahkan ke hospital di Shah Alam.

Pada mulanya tahap kelecuran yang dihadapi Faisal berada pada tahap dua, namun tindak balas yang kuat mengakibatkan tahap kelecuran pada badan pemain itu meningkat kepada tahap empat.

Dalam pada itu, Astro Arena melaporkan Faisal kini dipantau rapi oleh pihak hospital selepas tangan kirinya mengalami kecederaan teruk akibat insiden berkenaan.

Menurut laporan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, tangan kiri Faisal tidak menunjukkan tindak balas dan pemain itu sedang berada dalam pemantauan rapi.

Faisal kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tidak dibenarkan menerima ramai pelawat demi mengelakkan jangkitan kuman.