Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Keputusan FIFA menggantung hukuman penggantungan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun, mencetuskan kontroversi apabila pemain itu kini dibenarkan beraksi menentang Belgium pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Menurut laporan Sky Sports, Balogun sebelum ini dikenakan penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika aksi pusingan 32 menentang Bosnia-Herzegovina, namun hukuman tersebut digantung selama setahun.
Keputusan itu membolehkan penyerang yang sudah meledak tiga gol dalam kejohanan itu kembali memperkuatkan AS pada aksi kalah mati.
AFP melaporkan sumbernya memaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino dan meminta badan induk bola sepak dunia itu untuk menilai semula kad merah yang dilayangkan kepada Balogun sebelum ini.
Menurut AFP lagi, Trump menghubungi Infantino pada hari Rabu iaitu hari yang sama kad merah itu diberikan, kata sumber tersebut dengan syarat nama tidak disiarkan.
FIFA pada Ahad, kemudian mengumumkan keputusan untuk menangguhkan penggantungan satu perlawanan yang dikenakan Balogun.
Ini bermakna Balogun kini boleh bermain dalam perlawanan pusingan 16 terakhir AS menentang Belgium.
Trump kemudian menyambut baik keputusan itu menerusi media sosial.
“Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan besar,” katanya.
Bagaimanapun, keputusan tersebut mengundang rasa tidak puas hati daripada Persatuan Bola Sepak Belgium (RBFA) yang menyifatkan tindakan FIFA sebagai mengejutkan.
Menurut RBFA, pihaknya sedang meneliti semua pilihan yang ada bagi mempertahankan prinsip keadilan serta integriti sukan.
“Bagi melindungi hak semua pasukan yang bertanding dan mempertahankan prinsip asas permainan adil dalam Piala Dunia ini serta kejohanan akan datang, kami sedang meneliti semua pilihan yang ada,” menurut kenyataan badan itu.
Jurulatih Belgium, Rudi Garcia turut mempersoalkan keputusan berkenaan dengan menyifatkan ia sesuatu yang luar biasa dalam sejarah Piala Dunia.
“Saya tidak tahu bahawa di pejabat FIFA, 5 Julai adalah 1 April di Eropah.
“Persekutuan Belgium bukan mempertahankan pasukan kebangsaan semata-mata, tetapi mempertahankan bola sepak, integriti dan etikanya. Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah Piala Dunia keputusan seperti ini dibuat,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Belgium akan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau sama ada campur tangan Trump mempengaruhi keputusan FIFA.
Balogun dilayangkan kad merah selepas menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Bosnia-Herzegovina apabila butnya terkena pemain lawan, Tarik Muharemovic, dalam satu terjahan.
Pada awalnya, pemain berusia 25 tahun itu dikenakan penggantungan satu perlawanan sekali gus terlepas aksi menentang Belgium.
Namun, FIFA kemudian menggunakan Artikel 27 dalam peraturan disiplin badan itu yang membenarkan pelaksanaan hukuman digantung sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya.
Menurut FIFA, hukuman tersebut digantung selama tempoh percubaan setahun.
“Pelaksanaan penggantungan perlawanan ini digantung selama tempoh percubaan satu tahun. Jika Folarin Balogun melakukan kesalahan sama yang setara sepanjang tempoh itu, penggantungan tersebut akan dikuatkuasakan selain sebarang hukuman baharu,” menurut kenyataan FIFA.
Sementara itu, bekas pemain Manchester United yang kini menjadi pundit Sky Sports, Gary Neville, menyifatkan keputusan berkenaan sebagai sesuatu yang mencurigakan.
“Ia benar-benar berbau. Memang patut ada proses semakan untuk membatalkan kad merah jika keputusan itu salah.
“Tetapi jika tiada proses seperti itu dan FIFA tiba-tiba membenarkan pemain beraksi, saya faham mengapa Belgium berasa marah. Peraturan sepatutnya sama untuk semua pasukan,” katanya.
Jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino pula mempertahankan keputusan FIFA dengan menyifatkan pasukannya telah menerima hukuman yang cukup berat apabila terpaksa bermain dengan 10 orang selama 30 minit ketika menentang Bosnia-Herzegovina.
Menurut laporan Sky Sports, daripada 12 kad merah yang dilayangkan sepanjang Piala Dunia 2026 setakat ini, hanya hukuman Balogun digantung, sekali gus menjadikan keputusan itu antara yang paling hangat diperdebatkan dalam kejohanan kali ini.