Siakap Keli
railway turntable pulau pinang
Kredit: National Library of Australia & Google Street View

Dicatat Dalam Naskhah Kartografi Lama, Pengkaji Temui Kewujudan “Railway Turntable” Di Pulau Pinang

Dicatat Dalam Naskhah Kartografi Lama, Pengkaji Temui Kewujudan “Railway Turntable” Di Pulau Pinang

Sekumpulan pengkaji telah menemui railway turntable di sebuah stesen kereta api usang iaitu Stesen Kereta Api Perai di Pulau Pinang baru-baru ini.

Penemuan menakjubkan itu telah disiarkan oleh Persatuan Kartografi Melaka menerusi hantarannya di Facebook pada 4 Mei 2024.

Berdasarkan hantaran tersebut, penemuan tersebut merupakan hasil usaha penyelidik dari Railway Cartographic Research Project dan Persatuan Kartografi Melaka.

Penasihat dan penyelidik Railway Cartographic Research Project (RailCREP),  Shahrul Azzim Abd Aziz berkata bahawa penemuan tersebut didorong menerusi satu naskhah kartografi usang.

Jelasnya, para penyelidik telah meneliti sebuah naskhah usang yang berusia kira-kira 80 tahun lepas. Naskhah yang diterbitkan pada 1944 itu dikenali dengan tajuknya, Prai Plan of Port.

Menerusi naskhah terbabit, pengkaji-pengkaji dapat mengenalpasti beberapa fasiliti yang terdapat pada Stesen Kereta Api Perai pada waktu itu.

Naskah peta lama itu memaparkan beberapa lakaran yang menunjukkan beberapa kemudahan seperti stesen, bangsal gerabak (carriage shed), bangsal enjin (engine shed), kuarters dan lain-lain lagi.

Penyelidik turut menemui railway turntable di stesen kereta api terbabit

Selain itu. Shahrul turut menjelaskan bahawa mereka telah menemui salah satu mekanisme yang sudah jarang ditemui pada masa sekarang iaitu railway turntable.

Berdasarkan BSNF Railway, railway turntable digunakan untuk menukar arah kereta api lokomotif pada 1830-an. Ketika itu kereta api hanya mampu bergerak dalam satu arah sahaja dan memerlukan mekanisme ini untuk menukar arah pergerakannya.

Walaupun kita sudah memiliki kereta api yang mampu bergerak kedua-dua arah, mekanisme ini masih berguna untuk memindahkan bahagian lokomotif dan beberapa kelengkapan lain untuk bergerak di atas landasan pada arah yang betul.

Berbalik pada hantaran penemuan tadi, Shahrul menjelaskan kewujudan mekanisme ini, yang dipercayai pernah digunakan dalam stesen usang ini.

“Di dalam peta lama tersebut, juga terpapar sebuah gambar rajah yang berbentuk bulatan  yang diyakini adalah sebuah railway turntable yang pernah digunakan di stesen ini suatu ketika dahulu.” jelasnya.

Beliau turut membuat perbandingan lokasi railway turntable itu antara peta tahun 1944 dengan imej Google Street View yang dirakam pada tahun 2013.

Sungguhpun begitu, mekanisme yang telah dibuat pada tahun 1927 itu dilaporkan sudah tidak lagi berada di lokasi tersebut.

Orang ramai hanya dapat melihat railway turntable dan juga Stesen Kereta Api Perai menerusi catatan sejarah dan gambar kenangan yang diabadikan oleh penumpang suatu ketika dahulu.

Kata Shahrul, stesen kereta api itu pernah berdiri megah dan menjadi tumpuan para penumpang kereta api pada satu masa dahulu.

BACA: Apa Akan Jadi Kalau RON95 Bercampur Dengan RON97? Ini Penjelasan Pakar

Sumber: Persatuan Kartografi Melaka via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma