Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Rakyat Malaysia Bersatu, Kempen #StandWithFaisalHalim Trending Di Media Sosial

Athirah
kempen #standwithfaisalhalim
Kredit: Selangor FC

Rakyat Malaysia Bersatu, Kempen #StandWithFaisalHalim Trending Di Media Sosial

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan insiden pemain Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa serangan simbahan asid pada Ahad lepas.

Kejadian itu menyebabkan Faisal yang juga pemain kebangsaan mengalami kelecuran tahap hempat hingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta.

Malah, beliau juga terpaksa menjalani beberapa pembedahan bagi merawat kecederaan yang menimpanya. Sebelum ini, Astro Arena turut melaporkan Faisal dipercayai disimbah dengan menggunakan asid sulfurik pekat.

Mujurlah, dalam perkembangan terkini, keadaan Faisal dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Beliau juga turut sudah menjamah makanan dan mula melakukan latihan ringan.

Namun yang pastinya, insiden menimpa Faisal turut memberi kesan kepada seluruh negara, lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat bola tempatan.

Orang ramai khususnya pengguna warga maya tampil menunjukkan solidariti bersama Faisal menerusi hantaran-hantaran yang disertakan bersama tanda pagar #StandWithFaisalHalim.

Sehingga saat ini, Faisal dan tanda pagar berkenaan telah menjadi trending di pelbagai platform media sosial, khususnya di Facebook dan X (dahulunya Twitter).

Kempen solidariti #StandWithFaisalHalim Stop The Violence jadi trending

Untuk pengetahuan pembaca, tanda pagar berkenaan dimulakan oleh majikan Faisal, Selangor FC ketika melancarkan kempen solidariti ‘Stand With Faisal Halim. Stop The Violence!’.

“Tiada ruang untuk keganasan dalam sukan yang kita cintai ini. Bola sepak adalah sukan yang menyatukan dan bukan untuk memecahbelahkan kita. Pemain-pemain bola sepak berusaha dan bekerja keras untuk kita.

“Seperti mana-mana atlet lain, Faisal Halim, tiada bezanya. Beliau telah memberikan segalanya untuk kita meraikan kegembiraan bersama.

“Bukan sahaja untuk kelab, malah di peringkat kebangsaan. Paling diingati, baru-baru ini, gol ikoniknya menentang Korea Selatan dalam Piala Asia AFC 2023, membawa sorakan paling gemuruh di tanah air.

“Kini, giliran kita pula untuk memberi sokongan padu kepada wira negara kita. Mari berdiri teguh di belakang insan yang mempunyai impian yang besar dalam bola sepak.

“Ini bukan sekadar bola sepak tetapi ini tentang perihal kemanusiaan. Justeru, sebagai tanda solidariti bersama Faisal Halim, kami di Selangor FC ingin menyeru orang ramai untuk membanteras keganasan dalam apa jua bentuk.

“Tiada tempat untuk keganasan. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau dan semoga beliau cepat pulih sediakala,” ujar Selangor FC.

Penyanyi dan wakil rakyat, Altimet mendoakan Faisal dari Tanah Suci

Kempen berkenaan berkenaan pantas menjadi tular dan mendapat sambutan hangat daripada warga maya. Antara yang terawal menyambut kempen tersebut adalah kelab bola sepak PDRM FC.

Menerusi video yang dikongsikan oleh @altimet yang kini merupakan seorang ADUN turut bersama-sama dalam kempen tersebut.

I stand with you, Faisal. Saya akan melihat awak kembali main bola dalam masa terdekat. Insha Allah,” katanya dalam video tersebut.

Seorang lagi selebriti terkenal, Bront Palarae turut memuat naik satu hantaran bagi menunjukkan sokongan kepada pemain kebangsaan tersebut.

Selain itu, ada juga peminat bertindak menggantung kain rentang dengan tulisan “Doakan Untuk Faisal Halim” di sebuah jejantas sebagai dukungan kepada pemain kesayangan ramai itu.

Apa pun, kami di Siakap Keli turut mendoakan agar Faisal segera diberi kesembuhan dan dapat kembali berjuang di atas padang mewakili kelab dan negaranya selepas ini. Aminn.

BACA: Kalau Mesin Basuh 10Kg, Berat Termasuk Air Dengan Pakaian Sekali Ke? Ini Jawapannya

Sumber: Stadium Astro