PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat kegagalan platform media sosial, Facebook, mengesan atau menghalang siaran langsung serangan terhadap seorang guru di Kuching, Sarawak, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata pihaknya menyerahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian itu sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut.
Beliau berkata kegagalan platform media sosial menghalang penstriman langsung yang memaparkan tindakan keganasan bukan perkara baharu, malah pernah berlaku di beberapa negara lain.
“Waktu ini, pihak MCMC sedang melakukan siasatan berkaitan isu ini. Kalau kita ingat sebelum ini, di beberapa negara lain ada platform yang gagal menghalang penstriman secara langsung tindakan-tindakan keganasan.
“Jadi, saya serahkan kepada pihak MCMC untuk menyiasat dan membuat kenyataan nanti,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan telah meminta penjelasan daripada Meta berhubung kegagalan Facebook mengesan atau menghalang siaran langsung berkenaan sejak kejadian itu bermula.
Sebelum ini, tular video seorang pelajar bertindak menyerang seorang individu wanita yang dipercayai gurunya di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan senjata yang ditemukan ialah pisau kecil jenis penknife dan juga kapak kecil.

