PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Tiada syarikat perladangan Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran di Indonesia, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, berdasarkan semakan silang kementerian yang dilakukan sebelum ini.
“Aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia… terdapat satu ladang syarikat Malaysia, bukan pembakaran dari dalam tetapi api telah marak dari luar.
“Namun, ia telah dipadamkan dan saiz ladang itu adalah lima hektar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengadakan sesi libat urus khas bersama dengan semua syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia susulan situasi berkenaan.
Kebakaran hutan dan tanah yang berulang di Indonesia terus menjadi ancaman serantau apabila asap tebal merentasi sempadan sehingga menjejaskan negara jiran termasuk Malaysia, Singapura serta Filipina.

