Siakap Keli
Jepun Hasilkan Peranti 6G
Kredit: linkedin

Jepun Berjaya Cipta Peranti Prototaip 6G Pertama Di Dunia, 20x Lebih Pantas Dari 5G

Jepun Berjaya Cipta Peranti Prototaip 6G Pertama Di Dunia, 20x Lebih Pantas Dari 5G

Sebuah konsortium Jepun dilapor berjaya menghasilkan peranti prototaip berkelajuan tinggi 6G pertama di dunia, lapor portal Medium.

Kejayaan itu sekaligus meletakkan batu asas kepada keupayaan untuk memindahkan data yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Diumumkan pada 11 April lepas, peranti 6G berkenaan dibangunkan melalui usaha kerjasama antara syarikat telekomunikasi terkemuka Jepun iaitu DOCOMO, NTT Corporation, NEC Corporation dan Fujitsu.

Dalam satu sesi demo yang mengejutkan dunia, peranti tersebut mampu memindahkan data pada kelajuan 100 gigabit sesaat (Gbps), iaitu 20 kali ganda lebih pantas daripada teknologi 5G semasa.

Beroperasi dalam 100 gigahert (GHz) band indoor dan 300 gigahert band outdoor, keupayaan yang ditunjukkan oleh teknologi tersebut dianggap sebagai pencapaian signifikan dalam evolusi komunikasi tanpa wayar.

Walaupun kelajuan yang dicapai tidak dinafikan memang mengagumkan, namun teknologi ini masih berada di peringkat awal.

Hal ini kerana peranti 6G yang didedahkan hanyalah satu bukti konsep yang boleh dilaksanakan dan bukannya satu rangkaian yang berdaya maju yang boleh dikomersialkan buat masa ini.

Tambahan lagi, teknologi 6G kelak memerlukan jaringan infrastruktur yang baharu, terutamanya dalam aspek perambatan dan penerimaan isyarat.

Siapa sangka, 6G meneroka frekuensi yang lebih tinggi

Menurut portal Medium lagi, jika sebelum ini 5G sudah pun beroperasi dalam jalur frekuensi yang tinggi, teknologi 6G pula akan meneroka frekuensi yang jauh lebih tinggi.

Walaupun ia menjanjikan kelajuan berlipat kali ganda, namun pada masa ia turut menimbulkan beberapa batasan yang tersendiri. Antaranya seperti pengurangan dalam julat dan kekuatan isyarat.

Malah, dalam jarak sesingkat 100 meter sekali pun, faktor seperti adanya halangan dan keadaan persekitaran tertentu boleh mengganggu isyarat 6G.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan potensi teknologi 6G tidak terbatas kerana ia meningkatkan kebolehan aplikasi sedia ada seperti penstriman video dan penyemakan imbas mudah alih.

Dalam pada itu, peranti 6G mempunyai kapasiti untuk memberi pengalaman baru kepada pengguna seperti komunikasi holografik secara masa nyata dan pelbagai pengalaman virtual yang lain.

Untuk merealisasikan wawasan ini, ia memerlukan pembangunan infrastruktur yang lebih besar. Antaranya menaik taraf menara sel dan menyepadukan antena 6G ke dalam peranti generasi akan datang.

BACA: Keluarga Faisal Serah Sepenuhnya Kepada Polis Jalankan Siasatan 

Sumber: Medium, Gizmochina, NTT DOCOMO, Wiser.my

Athirah

When nothing goes right, go left.