Siakap Keli

Mangsa Insiden Pokok Tumbang Layak Terima Faedah PERKESO

Mangsa Insiden Pokok Tumbang Layak Terima Faedah PERKESO

PUTRAJAYA – Pemandu e-hailing yang terlibat dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur semalam layak menerima Faedah daripada Pertubuhan  Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata pemandu berusia 26 tahun itu layak membuat tuntutan faedah PERKESO kerana beliau merupakan pencarum PERKESO bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli cedera pada bahagian kepala, dada, lengan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

“Pemuda yang baru mendirikan rumah tangga ini layak mendapat Faedah Hilang Upaya Sementara menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 sehari. 

insiden pokok tumbang faedah perkeso

“Malah, Abdul Hayyi layak memohon faedah rawatan perubatan dan rawatan rehabilitasi, selain tuntutan Faedah Hilang Upaya Kekal sekiranya mengalami hilang upaya kekal,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ziarah Prihatin ke kediaman ibu saudara  Abdul Hayyi, sambil menyampaikan sumbangan wakalah dan kotak prihatin PERKESO,  semalam. 

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur,  Datuk Seri PMgr Sr. Kamaruzzaman Mat Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato’ TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr.  Mohammed Azman Aziz Mohammed turut hadir bersama.

insiden pokok tumbang faedah perkeso

Mengulas lanjut, Steven Sim menzahirkan penghargaan kepada platform penyedia  perkhidmatan, Grab Malaysia dan Kementerian Pengangkutan (MOT) atas inisiatif padanan  caruman SKSPS menerusi Belanjawan 2024, sekali gus melayakkan pencarum dalam  kalangan penggiat sektor gig dilindungi PERKESO.  

Katanya, sinergi daripada kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Grab, PERKESO dan MOT menyaksikan pemandu e-hailing yang sentiasa bersabung nyawa  mencari nafkah untuk keluarga mendapat perlindungan keselamatan sosial tepat pada masanya.  

insiden pokok tumbang faedah perkeso

“Saya juga berhasrat menyantuni waris keluarga Allahyarham Md Rizal Atan, seorang korban mangsa insiden pokok tumbang ini dalam tempoh terdekat. 

“Sememangnya jaringan keselamatan sosial ini amat penting, termasuk individu bekerja sendiri kerana malang tidak berbau dan perlindungan ini sekurang-kurangnya berupaya  memberi sokongan kewangan kepada pencarum atau waris sekiranya ditimpa bencana,” katanya. 

Nurul Naqiyah