Siakap Keli
sultan selangor sokong sumbangsih
Kredit: Selangor Royal Office

Sultan Selangor Perkenan & Sokong Keputusan Tidak Hadir Ke Perlawanan Piala Sumbangsih

Sultan Selangor Perkenan & Sokong Keputusan Tidak Hadir Ke Perlawanan Piala Sumbangsih

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

Sebelum ini, perlawanan yang mempertemukan antara kelab berkenaan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei.

Menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royale Office, Baginda turut menzahirkan rasa kecewa kerana Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan tersebut.

Sultan Selangor sokong keputusan pasukan tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih

Baginda selaku Penaung Selangor FC berpandangan, keputusan kelab untuk tidak menyertai pertandingan tersebut adalah tepat susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini.

“Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

“Bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira,” titah Baginda.

Menurut Selangor Royal Office lagi, Baginda juga mahu semua pihak memahami tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa sebegini tidak sama dengan kes-kes yang berlaku sebelum ini.

Apatah lagi, kejadian tersebut berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

“Selangor FC sedia berdepan dengan apa jua tindakan susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan ini,” titah Baginda lagi.

Dalam pada itu, Baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk melalui kempen #standwithfaisalhalim #stoptheviolence.

Terdahulu, Selangor FC memaklumkan keputusan mereka untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan menerusi satu kenyataan media semalam.

Kelab bola sepak itu berkata, keputusan itu dibuat setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak.

Ia rentetan daripada insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

Athirah

When nothing goes right, go left.