April 2024 Muncul April Paling Panas Dalam Rekod – NASA
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengesahkan April 2024 merupakan bulan April paling panas dalam rekod setakat ini.
Menurut laman rasmi X @NASAClimate, April 2024 mencatatkan peningkatan suhu sebanyak 1.32 darjah Celsius. Ia lebih panas berbanding bulan-bulan April sepanjang tempoh dasar antara 1951 hingga 1980 dalam rekod NASA.
Secara keseluruhan, ia menjadikan April 2024 sebagai bulan ke-11 yang memecahkan rekod berturut-turut.
NASA menjelaskan bahawa fenomena El-Nino menjadi punca terbesar kebolehubahan cuaca dari tahun ke tahun.
Keadaan itu secara tidak langsung mengurangkan atau meningkatkan nilai purata walaupun suhu meningkat secara keseluruhan.
Tahun 2024 boleh menjadi tahun paling panas selepas 2023
Menurut portal CNN, impak gelombang haba kepada negara-negara di Asia dilihat lebih teruk pada tahun ini.
Misalnya, cuaca panas memaksa Bangladesh menutup sekolah buat sementara waktu yang mana telah mengganggu sesi persekolahan di negara itu.
Manakala di Vietnam, para petani terpaksa berdepan dengan kemerosotan hasil tanaman sepanjang tempoh ini.
Selain itu, suhu laut global yang dicatatkan pada bulan April juga memecahkan rekod untuk bulan ke-13 berturut-turut. Suhu permukaan laut mencapai 21.04 darjah, merupakan suhu tertinggi dalam rekod berbanding April pada tahun-tahun sebelumnya.
Impak kejadian itu kepada ekosistem marin sangat besar dengan beberapa kejadian hakisan batu karang turut dilaporkan berlaku.
Menurut portal CNN lagi, salah satu penyumbang kepada perubahan cuaca sehingga berlakunya gelombang haba ini adalah aktiviti pembakaran bahan api fosil oleh manusia.
Manakala fenomena El Nino yang berlaku pula cenderung memberikan kesan pemanasan seperti yang dialami.
Dalam pada itu, saintis mendapati terdapat kemungkinan sebanyak 66 peratus untuk tahun 2024 ini menjadi tahun paling panas dalam sejarah.
Pada masa yang sama, peluang untuk tahun ini menjadi tahun kedua paling panas dalam sejarah adalah sebanyak 99 peratus.
Menurut CNN, tahun 2023 menjadi tahun paling panas yang pernah direkodkan.
BACA: Gelombang Haba Ragut 61 Nyawa Setakat Ini Di Thailand
April 2024 was the warmest April on record.
Last month was 1.32 degrees Celsius (2.38 Fahrenheit) warmer than the average April during the baseline period (1951-1980) for @nasa’s temperature record, GISTEMP.
That makes April 2024 the 11th record-breaking month in a row. pic.twitter.com/xcPJdYaYEn
— NASA Climate (@NASAClimate) May 10, 2024
Sumber: NASA via X, CNN