Bilik Asrama SAHUT Terbakar, 10 Pelajar Berjaya Selamatkan Diri
Seramai 10 pelajar dari Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kuala Berang berjaya menyelamatkan diri dari kebakaran selepas asrama mereka dijilat api, pada pagi Ahad.
Tragedi cemas yang dilaporkan berlaku pada jam 3.30 pagi itu mengakibatkan bilik yang ditempati oleh pelajar lelaki sekolah berkenaan musnah 70 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusof berkata, pihaknya segera bertindak sebaik sahaja laporan berkenaan kejadian diterima.
Difahamkan, seramai 15 kekuatan dari dua buah balai bomba, iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Zulhisham, kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik asrama, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua pelajar berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Kebakaran itu telah menyebabkan sebuah bilik asrama yang berkeluasan 20×20 kaki telah musnah terbakar sehingga 70 peratus dan seramai 10 orang pelajar berjaya keluar daripada bangunan asrama dalam keadaan selamat.
“Pasukan bomba telah bertindak menjalankan operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan sumber air daripada pam jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. Operasi pemadaman tamat pada jam 5.46 pagi,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam proses penyiasatan.
BACA: Faisal Halim Teruja Jalani Fisioterapi Untuk Kembali Beraksi
Sumber: Astro Awani