Sebanyak 10 kenderaan dilaporkan terbakar dalam kejadian di tempat letak kereta tingkat dua bawah tanah (B2) sebuah pusat beli-belah di Jalan Wong Ah Fook, di sini, petang semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Suffian Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi turut membabitkan pasukan dari BBP Tebrau, BBP Kempas dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dengan kekuatan keseluruhan 40 pegawai dan anggota.
Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati lapan kenderaan musnah antara 80 hingga 90 peratus, manakala dua lagi terjejas antara 20 hingga 30 peratus akibat bahang dan nyalaan api.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi kawalan dan pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki yang disambungkan kepada sistem pencegah kebakaran bangunan serta pam jentera bomba.
Tiga wanita sesak nafas
Dalam kejadian itu, tiga wanita masing-masing berusia 35, 48 dan 57 tahun yang merupakan warga Singapura mengalami kesesakan nafas akibat terhidu asap tebal.
“Seorang lelaki dewasa dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Tiga mangsa terbabit diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan bomba sebelum seorang wanita berusia 48 tahun dipindahkan ke hospital berdekatan menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) BBP Larkin,” katanya.
Dapatan awal pemeriksaan turut mendapati sistem pencegah kebakaran automatik serta sistem ekzos penyedut asap di aras berkenaan tidak berfungsi ketika kejadian.
Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor kini menjalankan siasatan forensik bagi mengenal pasti punca utama kebakaran serta menyiasat kegagalan fungsi sistem keselamatan bangunan berkenaan.

